PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mengungguli acara ujian masa 1 kilometer lelaki C4-C5, hari ini.
Zuhairie mempamerkan kayuhan bertenaga apabila mencatat masa terpantas satu minit 5.361 saat (s) menewaskan pelumba Thailand, Jaturong Niwanti di tempat kedua dengan catatan 1:07.206s.
Pingat gangsa pula menjadi milik Saori Sufyan yang merekodkan masa 1:08.166s.
Terdahulu, Zuhairie memperbaiki rekod temasya selepas menungguli peringkat kelayakan dengan catatan masa 1:04.882s sekali gus memadam pencapaian Lai Shanzhang dari China yang melakukan 1:07.311s pada Sukan Asia 2022.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Yusof Hafizi Shaharuddin menghadiahkan pingat kedua buat Malaysia selepas meraih gangsa dalam acara kejar-mengejar individu 3 km lelaki C1-2.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga, Yusof menamatkan kayuhannya 3:52.930s untuk menewaskan Tifan Abid Alana dari Indonesia yang melakukan catatan masa 3:53.552s.
Pingat emas dimenangi oleh Shota Kawamoto dari Jepun dengan catatan masa 3:35.031s manakala perak diraih oleh Weicong Liang dari China (3:56.788s). – UTUSAN











