Skuad boling intai emas berganda Piala Dunia

Skuad boling buru emas berganda Piala Dunia

Muhammad Rafiq Ismail antara taruhan Malaysia pada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Munich, Jerman yang membuka tirai hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad tenpin boling negara menggalas misi mempertahankan emas berpasukan lelaki dan memburu kejuaraan lebih besar pada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Munich, Jerman yang berlangsung pada hari ini.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok berkata, Malaysia mempertaruhkan barisan pemain yang mencipta sejarah pada edisi lalu bagi meneruskan momentum kejayaan di pentas dunia.

“Peluang untuk mempertahankan kejuaraan berpasukan lelaki pastinya menjadi cabaran besar buat negara, lebih-lebih lagi apabila kita berdepan saingan daripada pasukan terbaik dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berharap pemain dapat mengekalkan konsistensi, memberikan persembahan terbaik dan membuktikan Malaysia mampu terus bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

Malaysia mengekalkan empat pemain yang menghadiahkan emas berpasukan lelaki pada edisi lalu, iaitu Muhammad Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fisho dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam, dengan misi mempertahankan kejuaraan berkenaan.

Dalam acara wanita, juara bertahan perseorangan, Nur Natasha Mohd Roslan akan mengetuai cabaran bersama Sin Li Jane serta dua pemain muda, Adelia Nur Irwan Syazalee dan Nur Hazirah Ramli.

Skuad wanita turut bertekad memperbaiki pencapaian selepas meraih perak berpasukan pada edisi lalu di belakang Amerika Syarikat (AS).

Menurut Maradona, cabaran kali ini dijangka lebih sengit apabila kejohanan berkenaan menghimpunkan 44 pasukan lelaki dan 26 pasukan wanita, sekali gus menjadikannya antara edisi terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Format pertandingan yang mencabar menuntut pemain mengekalkan fokus dan prestasi sepanjang kejohanan. Setiap perlawanan penting, jadi pemain perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi saingan,” katanya.

Malaysia berharap gabungan pengalaman pemain senior dan tenaga muda mampu membantu negara memburu kejayaan di Munich, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kuasa utama boling dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini