Selangkah lagi pertahan emas skuasy berpasukan

Selangkah lagi pertahan emas skuasy berpasukan

S. Sivasangari menghadiahkan mata pertama Malaysia menentang Jepun dalam acara berpasukan wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, semalam. - IHSAN WSF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangkah sahaja lagi yang memisahkan skuad skuasy wanita negara daripada mempertahankan pingat emas, selepas membenam Jepun 2-0 pada separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, semalam.

Malaysia yang diperkuatkan dengan kehadiran bintang No. 5 dunia, S. Sivasangari menghadiahkan mata pertama selepas menewaskan pemain No. 6 dunia, Satomi Watanabe 5-11, 11-7, 6-11, 11-6, 11-3 dalam masa 33 minit di Nagoya Kinjo-Futo Arena.

Mendahului 1-0, pemain muda negara, Aira Azman yang diletakkan selaku perseorangan kedua menggalas tugasnya dengan baik apabila mudah membenam wakil Jepun, Akari Midorikawa 11-8, 11-5, 11-3 dalam masa 17 minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan itu membolehkan Malaysia meraih kemenangan 2-0 dan tidak memerlukan perseorangan ketiga, Aifa Azman daripada turun ke gelanggang.

Hari ini, dalam perlawanan akhir, Malaysia akan berdepan seteru lama, Hong Kong selepas mereka menumpaskan India dalam pertarungan sengit yang berakhir dengan keputusan 2-1.

Kemaraan skuad negara ke pentas akhir meletakkan Malaysia berada di landasan terbaik bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Temasya Hangzhou 2022.

Seandainya skuad wanita berjaya berbuat demikian, maka, sasaran tiga emas yang diletakkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) berjaya dicapai oleh barisan pemain skuasy.

Setakat ini, skuasy sudahpun menjelmakan dua pingat emas menerusi Sivasangari dan pemain No. 8 dunia, Ng Eain Yow dalam acara perseorangan wanita serta lelaki. – UTUSAN

CAPTION
S. Sivasangari hadiah mata pertama Malaysia pada separuh akhir menentang Jepun dalam acara berpasukan wanita Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, semalam. – IHSAN WSF

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×