PETALING JAYA: Terlepas emas pecut individu lelaki tidak mematahkan semangat Datuk Azizulhasni Awang apabila jaguh berbasikal trek negara itu kini mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan berkenaan menerusi acara keirin pada hari terakhir saingan di Velodrom Izu, Shizouka hari ini.
Peluang Azizulhasni dilihat semakin terbuka apabila juara pecut individu semalam, Kaiya Ota dari Jepun, tidak tersenarai dalam acara keirin, sekali gus mengurangkan satu lagi cabaran utama buat pelumba berusia 38 tahun itu.
Azizulhasni sebelum ini terpaksa berpuas hati dengan gangsa dalam pecut selepas tewas 2-0 kepada Li Zhiwei dari China pada separuh akhir, sebelum bangkit menewaskan pelumba Thailand, Jai Angsuthasawit 2-0 dalam perebutan tempat ketiga.
Kejayaan meraih gangsa itu bagaimanapun memberi gambaran bahawa The Pocket Rocketman itu masih mampu bersaing di kelompok hadapan selepas terlebih dahulu menyingkirkan pelumba Jepun, Kanata Takahashi 2-0 pada suku akhir.
Kini, tumpuan beralih kepada keirin dengan Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi dua wakil negara dalam senarai peserta, namun beberapa pencabar utama dari China, Jepun, Thailand dan Taiwan tetap menanti.
Ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri, mengingatkan bahawa ketiadaan Ota tidak bermakna laluan anak buahnya akan menjadi mudah kerana masih ramai pelumba berkualiti yang mampu mencetuskan ancaman.
Beliau berkata, pelumba Jepun seperti Minato Nakaishi selain wakil China, Li Zhiwei dan Xie Han, turut perlu diberi perhatian dalam perlumbaan yang menuntut pelumba bijak membaca pergerakan lawan.
“Pelumba Jepun, Nakaishi, juga sangat kuat dan kemudian kita ada pelumba dari China. China sangat sukar dijangka kerana mereka mempunyai ramai pelumba dalam sistem mereka dan mungkin tidak menurunkan pelumba yang mempunyai ranking tertinggi sekalipun.
“Kemudian kita ada pelumba seperti Jai dan Shih-Feng yang bijak mencari roda pelumba sesuai untuk diikuti,” kata Harnizam kepada Utusan Malaysia.
Untuk rekod, Azizulhasni meraih emas keirin pada edisi 2010 Guangzhou dan turut menuai gangsa dalam edisi 2018 Jakarta-Palembang.
Dalam acara pecut individu wanita pula, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nur Alyssa Farid turut meneruskan cabaran selepas masing-masing mara ke suku akhir pecut individu wanita yang akan berlangsung hari ini. – UTUSAN











