PETALING JAYA: Sebanyak lima organisasi kebajikan menerima sumbangan menerusi Dana Medicare Mazda (MMF) sempena penganjuran Kejohanan Golf Amal Mazda Ke-12 yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, baru-baru ini.
Kejohanan anjuran Bermaz Motor pada 9 dan 10 Oktober lalu itu menghimpunkan seramai 200 peserta terdiri daripada rakan perniagaan, wakil kerajaan, pelanggan Mazda, peminat golf dan anggota masyarakat.
Lima organisasi yang menerima sumbangan ialah Mount Miriam Cancer Hospital, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim dan Cacat Perlindungan Selangor, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian, Pertubuhan Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Sijangkang serta Yayasan Al-Sultan Abdullah.
Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar acara sukan, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Menurutnya, tanggungjawab sosial korporat perlu diterjemahkan melalui tindakan dan bukan sekadar kenyataan.
“Kejohanan Golf Amal Mazda sentiasa membawa makna lebih besar daripada acara sukan. Ia merupakan komitmen bersama untuk membantu masyarakat dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang paling memerlukan.
“Dana Medicare Mazda diwujudkan berasaskan prinsip memberi tanpa mengharapkan balasan dan penganjuran kejohanan ini setiap tahun terus memperkukuh matlamat tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Majlis makan tengah hari amal yang berlangsung pada 10 Oktober lalu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang merupakan Penaung Diraja MMF sejak 2015.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Mahathar Abdul Wahab; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Pada majlis itu, wakil organisasi penerima turut menerima replika cek sebagai simbolik penyerahan sumbangan bagi menyokong pelbagai keperluan termasuk rawatan kanser, kebajikan anak yatim dan perlindungan golongan rentan.
Sementara itu, MMF yang ditubuhkan pada 2015 menerusi kerjasama Prima Merdu Sdn. Bhd. dan B. Braun Avitum Renal Services pada asalnya bertujuan membantu pesakit buah pinggang tahap akhir daripada golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan hemodialisis bersubsidi.
Sejak itu, bantuan dana berkenaan diperluas kepada rumah warga emas, rumah anak yatim, pusat orang kurang upaya serta kemudahan penjagaan kanak-kanak berkeperluan khas.
Bagi memastikan kesinambungan sumbangan, Bermaz Motor turut memperkenalkan Kad Keistimewaan Mazda (MPC) pada 2018 dengan yuran pendaftaran sekali sahaja sebanyak RM100 yang disalurkan terus kepada MMF.
Pemegang kad berkenaan turut menikmati diskaun 15 peratus bagi alat ganti tulen Mazda terpilih dan lima peratus bagi caj upah di pusat pameran serta pusat servis Mazda yang dikendalikan Bermaz Motor dan Prima Merdu di seluruh negara. – UTUSAN











