JDT elak kesilapan lawan PKR Svay Rieng

JDT elak kesilapan lawan PKR Svay Rieng

Xisco Munoz dan Shane Lowry pada sidang media menjelang perlawanan Kejuaraan Kelab ASEAN merebut Piala  Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu memastikan tiada ruang buat kesilapan silam berulang apabila melayan kunjungan kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2026/27 di Stadium Sultan Ibrahim, esok.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz menggesa anak buahnya supaya mengekalkan fokus serta persembahan bertenaga sejak minit awal permainan, terutamanya selepas berehat panjang ekoran kalendar perlawanan antarabangsa.

Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, walaupun kedua-dua pasukan pernah terikat 2-2 pada musim lalu, situasi kali ini berbeza kerana perlawanan bakal berlangsung di laman sendiri.

“Perlawanan esok adalah berbeza dengan pertemuan sebelum ini, tambahan pula JDT kini diperkuatkan dengan beberapa muka baharu, begitu juga dengan pasukan lawan yang telah ditambah baik menerusi rekrut baharu.

“Pertembungan ini amat menuntut komitmen tinggi. Apa yang penting adalah kami perlu belajar daripada kesilapan lalu dan memastikan gawang tidak dibolosi. Lawan mempunyai barisan pemain tengah yang berkualiti serta kelajuan di jentera serangan. Jadi, kawalan semasa transisi bertahan amat penting untuk membendung ancaman mereka,” katanya dalam sidang akhbar praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Mengulas mengenai keadaan pemain yang baru kembali daripada tugas skuad kebangsaan, Munoz berkata, pihak kelab perlu menguruskan minit permainan dan tahap kecergasan mereka dengan berhati-hati bagi mengelakkan risiko kecederaan berpanjangan.

Sementara itu, pertahanan Harimau Selatan, Shane Lowry menegaskan, barisan pemain teruja untuk kembali beraksi di hadapan penyokong sendiri dan bertekad untuk membawa pulang keputusan positif.

Lowry, yang menjaringkan gol ketika seri 2-2 musim lalu, mengakui dia lebih rela tidak mencetak nama sebagai penjaring asalkan pasukan dapat mengekalkan rekod bersih tanpa bolos.

“Mencegah gawang daripada dibolosi adalah keutamaan kami. Saya lebih gembira jika kami menang 1-0 atau 2-0 kerana ia kurang memberi tekanan kepada barisan pertahanan,” katanya yang baru pulih daripada kecederaan ringan.

JDT bakal mengharungi jadual padat dengan tiga perlawanan dalam tempoh enam hari, sekali gus menuntut kesediaan penuh daripada keseluruhan anggota skuad bagi merebut peluang dan meneruskan momentum kemenangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN