PETALING JAYA: Hasrat beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 tidak kesampaian selepas terkandas di peringkat suku akhir.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, pasangan No. 2 dunia itu memberikan tentangan sengit sebelum akur tewas 16-21, 21-18, 20-22 kepada wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Walaupun gagal meneruskan kemaraan, pasangan yang lebih dikenali sebagai DinFei itu tetap mempamerkan aksi bertenaga dan enggan memberikan kemenangan mudah buat lawan.
Malah, ketika ketinggalan 9-15 di set penentuan, juara Terbuka India itu tidak berputus asa, bangkit mengutip mata demi mata sehingga berjaya mengikat kedudukan 20-20.
Namun, tuah nyata lebih menyebelahi beregu China yang akhirnya menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
Kekalahan tersebut sekali gus menyekat impian Sze Fei-Izzuddin untuk mengulangi pencapaian tahun lalu apabila mereka berjaya mara ke final sebelum terpaksa berpuas hati selaku naib juara.
Selepas menyingkirkan beregu negara, Bo Yang-Liu Yi bakal berdepan cabaran daripada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana yang terdahulu menundukkan Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan dengan kemenangan straight set 21-16, 21-17.
Kini, harapan Malaysia untuk meneruskan cabaran di BAC 2025 terletak di bahu beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang bakal berdepan satu lagi pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang pada aksi separuh akhir.-UTUSAN