Misi besar Norza untuk MOM

Misi besar Norza untuk MOM

MOHAMAD NORZA ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berjanji akan membalas kepercayaan yang diberikan ahli gabungan terhadapnya selepas sekali lagi dipilih untuk menjadi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029.

Norza yang menduduki kerusi No. 1 itu bagi penggal ketiga, mengakui sudah merencana strategi dalam memastikan MOM bergerak ke arah permodenan dengan fokus utama terarah kepada projek pembangunan Olympic House Malaysia di Bukit Jalil, yang dijangka siap menjelang Sukan SEA 2027 yang bakal dianjurkan Malaysia.

Selain itu, Norza mahu menggunakan sepenuhnya kapasitinya sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara bagi memberi manfaat kepada sukan Malaysia.

Katanya, kepercayaan yang diberikan ini memberi beliau motivasi untuk terus menabur bakti kepada MOM dan membawa lebih banyak program-program peringkat Asia ke Malaysia.

“Mereka (ahli gabungan) menghargai saya di atas segala usaha dan kerja keras saya sepanjang memimpin MOM. Kepercayaan yang diberikan ini memberi saya motivasi tinggi untuk terus meletakkan MOM dikedudukan terbaik di Asia.

“Saya juga akan menggunakan kapasiti yang sebagai Naib Presiden OCA dengan membawa lebih banyak program-program peringkat Asia ke Malaysia bagi memberi manfaat kepada pelbagai sukan di negara kita.

“Semua 58 persatuan sukan tahu saya sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka berhubung dengan saya jika menghadapi sebarang masalah bila-bila masa. Kini tiba masa untuk saya jalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi sukan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Norza turut menegaskan bahawa prestasi atlet dan pasukan dalam semua sukan bukan di bawah bidang kuasa atau penyeliaan MOM kerana badan induk persatuan sukan itu tidak diberikan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

Jelasnya, MOM adalah badan yang menguruskan penganjuran temasya sukan di Malaysia dan dalam masa sama membantu pendaftaran dan segala dokumentasi melibatkan penyertaan atlet-atlet negara di temasya seperti Sukan Olimpik, Asia, Komanwel dan Sukan SEA.

“Semua peminat-peminat sukan tanah air kena faham perbezaan peranan MOM, MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Ingin saya tegaskan MOM tiada kaitan dengan program-program prestasi tinggi melibatkan atlet.

“MOM badan yang menguruskan pentadbiran melibatkan persatuan-persatuan sukan. Kena faham juga mengapa MOM menjadi salah satu daripada 200 negara yang bernaung di bawah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC),” jelasnya.

Norza berjaya mengekalkan jawatannya selaku Presiden MOM bagi penggal 2025-2029 selepas beliau menjadi calon tunggal untuk menduduki kerusi No. 1 itu dalam sesi pemilihan pada 19 April ini.

Selain Norza, jawatan Setiausaha Agung menjadi milik Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Mohd Nasir Ali yang ketika ini turut memegang jawatan Penolong Bendahari MOM selepas beliau tidak dicabar oleh mana-mana calon.

Penyandangannya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib memberi laluan kepada muka baharu selepas membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula menyaksikan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) yang juga Naib Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad bakal merebut dengan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya