KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berharap barisan kepimpinan baharu yang terpilih pada Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif MOM 2025-2029 kali ke-44, semalam, bukan sekadar penumpang, malah, sebaliknya mampu menyumbang tenaga secara efisien.
Beliau berkata, ahli jawatankuasa eksekutif itu juga diharap tidak terlalu bergantung kepada Presiden dan Timbalannya bagi menjayakan sesebuah visi dan tanggungjawab.
“Saya membayangkan satu barisan yang efektif dan efisien, sebab saya tidak ingin penumpang kerana kalau mengharapkan Presiden dan Timbalan Presiden sahaja ia tidak akan menjadi.
“Kita sebagai unit yang besar, memerlukan gabungan daripada semua latar belakang untuk kita memantapkan pergerakkan Olimpik di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas berakhir pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif MOM di sini, semalam.
Norza berkata, tugasan pertama ialah Sukan SEA di Thailand yang hanya berbaki lapan bulan lagi dan barisan kepimpinan yang baharu perlu bergerak ke depan bagi memastikan segala perancangan dapat berjalan lancar.
Katanya, selepas temasya di Thailand, beliau bakal mengetuai Jawatankuasa Persekutuan Sukan SEA yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027.
“Saya mahu kita melihat apa yang berlaku di Thailand untuk dijadikan pengajaran kepada kita.
“Salah satu yang saya nak tonjolkan kepada kerajaan ialah kalau Thailand meletakkan 50 acara sukan adakah kita akan mempertandingkan hanya 36 atau 40 sukan,” katanya.
Beliau berkata, jika negara ini berhasrat mencontohi Thailand, maka, badan induk itu amat memerlukan sokongan daripada persatuan-persatuan sukan untuk membuat persediaan rapi.
Katanya, selalu tuan rumah, MOM perlu menilai hasrat itu dengan teliti dan bukan sekadar mempertandingkan acara sukan berkenaan tanpa keputusan yang baik.
Mengulas mengenai barisan kepimpinan baharu MOM, Norza berkata, terdapat muka-muka baharu yang terpilih antaranya Datuk Azizul Anuar Adenan (Taekwondo Malaysia) yang berusia 34 tahun dilantik sebagai Naib Presiden.
“Begitu juga Datuk Mohd Sumali Reduan (sepak takraw), Datuk Mohamad Iruan Zulkefli (tinju) dan Nurul Huda Abdullah (Renang), manakala, Datuk Chong Kim Fatt (Wushu) merupakan wajah lama,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa dengan mandat yang diberikan, rata-rata dalam kalangan ahli jawatankuasa baharu itu mempunyai pemikiran sendiri yang mampu membawa MOM ke peringkat tertinggi.-UTUSAN