Enrique, Pandelela perlu perbaiki prestasi

Enrique, Pandelela perlu perbaiki prestasi

PANDELELA gagal menempah slot final 10 meter (m) platform individu wanita selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 pusingan kelayakan Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Teknikal Program Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee mengakui prestasi atlet terjun negara, Enrique Maccartney Harold dan Datuk Pandelela Rinong perlu dipertingkatkan selepas gagal mara ke final Kejohanan Piala Dunia Terjun 2025 di Mexico.

Katanya, biarpun prestasi Enrique tidak jauh berbeza dengan pesaing lain, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian khusus dalam latihan bagi memastikan dia lebih kompetitif pada masa hadapan.

“Saingan di Mexico sememangnya sengit, dan kita dapat lihat Enrique tidak terlalu jauh dari pesaingnya. Jadi, secara keseluruhannya, Enrique masih berada dalam lingkungan yang baik, namun ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki dalam sesi latihan akan datang,” katanya.

Bagi Pandelela, Ken Nee menjelaskan bahawa atlet berpengalaman itu mengalami sedikit ketidakseimbangan dalam prestasinya sejak tahun lalu dan perlu melakukan penyesuaian strategik bagi memastikan keupayaannya lebih konsisten.

“Dalam kejohanan itu,dia hanya mempunyai satu terjunan yang kurang memuaskan, tetapi yang lain agak baik. Ini menunjukkan bahawa ada peningkatan dari segi prestasi keseluruhan, tetapi atlet dari negara lain juga turut menunjukkan peningkatan yang lebih ketara,” jelasnya.

Bekas penerjun negara itu juga menjelaskan akan mengadakan sesi perbincangan bersama atlet bagi mengenalpasti masalah yang dialami bagi memperbaiki kelemahan yang berlaku untuk kejohanan yang akan datang.

“Kami akan berbincang dengan setiap atlet secara individu untuk mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki. Dari segi latihan, semuanya sudah berada pada tahap yang baik, tetapi mungkin aspek psikologi dan keyakinan perlu diberikan lebih tumpuan.

“Kami juga akan menilai strategi yang lebih sesuai untuk memastikan mereka dapat menampilkan prestasi terbaik dalam pertandingan akan datang,” tambahnya.

Sebelum ini, ratu terjun negara itu terpaksa akur selepas gagal menempah slot final 10 meter (m) platform individu wanita selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 pusingan kelayakan Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico

Manakala perjalanan Enrique turut terhenti apabila tidak berjaya menembusi kelompok 12 penerjun terbaik acara 10 meter (m) platform lelaki.

Pandelela akan meneruskan saingan di peringkat seterusnya di Windsor, Kanada, dari 10 hingga 13 April, sebelum menyertai pusingan akhir di Beijing, China, pada 2 hingga 4 Mei.
Habis

KAPSYEN: PANDELELA gagal menempah slot final 10 meter (m) platform individu wanita selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 pusingan kelayakan Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya