PETALING JAYA: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus membuktikan kehebatannya di pentas antarabangsa apabila mencatat masa 20.79 saat (s) dalam acara 200 meter (m) di Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays.
Lebih manis, Azeem bukan sahaja muncul juara dalam saringan keenam, malah catatan itu hampir memadam rekod kebangsaan 200m milik Russel Taib yang bertahan sejak 2019 dengan perbezaan tipis 0.02s sahaja.
Mewakili Universiti Auburn, pelari berusia 20 tahun itu juga berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik apabila berada di kedudukan ke-13 daripada 45 peserta keseluruhan, sekali gus menjadi pelari kedua terpantas dari universiti berkenaan.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menzahirkan rasa bangga dengan prestasi ditampilkan Azeem dan yakin atlet muda itu mampu mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Teruskan usaha, Azeem! Kejayaan sedang menantimu di garisan penamat. Seluruh rakyat Malaysia berada di belakangmu,” kata KOM dalam satu kenyataan.
Menurut KOM, pencapaian terbaharu ini adalah kesinambungan kejayaan Azeem yang sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan.
“Di bawah bimbingan jurulatih Ken di Universiti Auburn, Azeem terus memperagakan prestasi cemerlang dan membuktikan latihan yang diterapkan membuahkan hasil positif,” katanya.
Sementara itu, Azeem enggan cepat berpuas hati dan menyedari masih banyak aspek yang perlu diperkemaskan bagi memastikan lariannya lebih konsisten selepas ini.
“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya ringkas menerusi laman Instagram miliknya.
Buat masa ini, pemegang rekod 100m kebangsaan itu sedang memberi tumpuan penuh dalam memburu tiket ke Kejohanan Dunia di Tokyo yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 21 September ini.-UTUSAN