Aliana akui 'perit' untuk bangkit semula

Aliana akui ‘perit’ untuk bangkit semula

ALIANA Syafika Azizan (kiri)m ketika memenangi pingat gangsa bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (tengah) dan Anis Amira Rosidi pada Sukan Asia 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek negara, Aliana Syafika Azizan mengakui masih bergelut untuk kembali ke prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan kepala serta patah tulang rusuk pada Oktober tahun lalu.

Selepas beberapa bulan berehat, Aliana Syafika kini kembali menjalani latihan, namun sedar terdapat jurang besar dengan rakan sepasukan yang sedang berada di kemuncak prestasi ketika ini.

“Sekarang ini saya baru nak mula semula, sedangkan mereka sudah berada di fasa terbaik, jadi memang ada sedikit ketinggalan.

“Tetapi saya ambil perkara ini secara positif. Saya percaya dengan sokongan pasukan, jurulatih dan usaha sendiri, saya boleh kembali ke tahap terbaik,” kata Aliana.

Lebih mencabar, kesan gegaran otak (concussion) akibat kemalangan itu menjadikan proses pemulihannya lebih sukar berbanding kecederaan fizikal yang dialami.

Aliana turut mengakui pernah berada dalam keadaan hilang keyakinan dan hampir berputus asa, namun sokongan daripada ketua jurulatih berbasikal trek negara Harnizam Basri, rakan sepasukan serta Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) menjadi pembakar semangatnya.

“Saya percaya, mungkin satu hari nanti saya boleh kembali ke tahap terbaik, tetapi bukan mudah untuk terus bangkit dalam sekelip mata.

“Saya kena ambil masa dan perlahan-lahan bina semula kekuatan mental serta fizikal. Yang penting, saya tidak mahu terburu-buru kerana proses pemulihan ini perlu dilakukan dengan betul,” katanya.

Pelumba berusia 22 tahun itu terbabit dalam kemalangan pada Siri Trek Yayasan Sime Darby (YSD Track Series) pada Oktober menyebabkan beliau tidak sedarkan diri selama 40 minit.

Susulan kemalangan itu, atlet kelahiran Pulau Pinang itu terpaksa melupakan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 pada Februari serta terpaksa melepaskan tempatnya pelumba muda negara, Nurul Alyssa Mohd Farid dalam acara pecut berpasukan bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya