PETALING JAYA: Pemain beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin optimis mampu memberi saingan sengit di Kejohanan Badminton All England pada 11 Mac ini meskipun baru pulih daripada kecederaan.
Pemain berusia 30 tahun itu mengakui dirinya masih belum berada pada tahap kecergasan maksimum, namun yakin dapat mencapai kondisi terbaik sebelum kejohanan bermula.
“Setakat ini, keadaan saya masih baik kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan. Bermula minggu ini, semuanya kembali normal.
“Kecederaan yang saya alami bukanlah sesuatu yang serius, hanya kecederaan kecil di bahagian kaki. Mungkin ianya berlaku kerana faktor usia,” kata Yew Sin.
Setakat ini, pencapaian terbaik Yew Sin dan pasangannya, Teo Ee Yi di All England hanya sekadar mara ke pusingan kedua dan mereka berharap dapat melakukan kejutan kali ini.
“Kami semua tahu bahawa All England bukan kejohanan mudah buat kami. Tidak pasti sama ada kami kurang bernasib baik atau tidak bermain pada tahap terbaik di sana.
“Pencapaian terbaik kami di All England hanya pusingan kedua, jadi harapan kami kali ini adalah untuk menembusi peringkat lebih jauh,” ujarnya.
Selepas All England, Yew Sin-Ee Yi turut mengambil bahagian pada Terbuka Switzerland yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 24 Mac ini.-UTUSAN