PETALING JAYA: Pelari 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy tidak dapat beraksi di Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia di Nanjing, China yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Mac ini akibat kecederaan.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard apabila Shereen mengalami kecederaan ketika menjalani sesi latihannya di Amerika Syarikat (AS).
“Shereen mengalami kecederaan pada hamstringnya yang berlaku minggu lalu semasa sesi latihan. Oleh itu, sesi latihan yang lebih ringan akan dijalankan untuknya dalam tempoh dua minggu akan datang.
“Seterusnya, dia akan membina semula kekuatan untuk mengharungi musim di Amerika Syarikat dan bersedia untuk Kejohanan Trek Asia di Korea pada Mei ini.
“Ya, malangnya Shereen akan terlepas Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia di China, tetapi saya yakin Shereen akan pulih untuk bulan depan dan untuk Kejohanan Trek Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shereen yang kini berpangkalan di AS dijadual berlepas bersama jurulatihnya pada 17 Mac ini untuk menyertai kejohanan tersebut namun terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir.
Kini, Shereen melakukan persiapannya bagi menghadapi Kejohanan Trek dan Padang Asia serta Sukan SEA Thailand pada hujung tahun ini.-UTUSAN