SAIDATUL Zakirah Zairin terpaksa berdepan sikap prejudis lelaki sejak usianya 15 tahun lagi, apabila dia memutuskan untuk menceburi sukan bermotor yang didominasi kaum Adam.
“Persepsi pertama terhadap saya sewaktu mula-mula berlumba dulu, mereka kata saya hanya menjadi pelumba pelengkap grid.
“Kedudukan saya pasti di tangga tercorot dan tidak dipandang sebagai pesaing hanya semata-mata kerana saya perempuan, malah, ada yang kata saham saya akan jatuh kalau ada parut.
“Tetapi, saya tak peduli semua itu, saya buktikan saya mampu naik podium dan saya berjaya berbuat demikian,” kata Saidatul Zakirah dalam temu bual bersama Mingguan Malaysia.
Kali pertama mendengarkan kata-katanya itu, terdetik di hati penulis, gadis manis yang bakal menginjak usia 18 tahun pada 8 Ogos ini seorang yang matang pemikirannya serta bijak.
Cukup petah melontarkan pendapat mendorong penulis bertanyakan serba sedikit latar belakangnya dan persoalan itu terjawab apabila dia menceritakan tentang keluarga serta pendidikannya.
Dilahirkan di Brunei Darussalam, puteri bongsu daripada empat beradik itu membesar di luar negara sehingga usianya mencecah 14 tahun sebelum memutuskan untuk bersekolah di Malaysia gara-gara minat mendalam terhadap sukan permotoran.

“Saya dilahirkan di Brunei tetapi sehingga umur lima tahun sahaja, selepas itu saya dan keluarga ikut ayah berpindah ke Doha, Qatar kerana tuntutan kerja ayah sebagai Senior Marine Surveyor di sebuah syarikat cari gali minyak berpangkalan di Qatar.
“Sewaktu pulang ke Malaysia, saya seorang sahaja yang balik dan duduk bersama opah di Ipoh Perak, di sana saya bersekolah di Sekolah Antarabangsa Fairview sehingga tamat O Level dan sekarang saya melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan,” katanya.
Sudah terbiasa berdikari sendiri tanpa sokongan kedua orang tuanya yang masih menetap di Qatar, Saidatul Zakirah berkata, dia mula terlibat dalam sukan bermotor pada 2022, tetapi, sebelum itu, ayahnya mendaftarkannya di dalam sebuah akademi di Qatar.
“Saya menyertai Qatar Motosports Academy (QMA) di bawah teraju ketua jurulatih, Jose Luis Cardoso yang merupakan bekas pelumba MotoGP dari Sepanyol, tetapi, cuaca di Qatar tidak memboleh saya berlatih secara konsisten.
“Di Qatar cuaca terlalu panas selama enam bulan, sepanjang tempoh itu saya tak boleh berlatih dan ia tidak bagus untuk perkembangan karier saya,” kata Saidatul Zakirah yang mula meminati sukan bermotor kerana kerap di bawa ayahnya menyaksikan MotoGP, WorldSBK dan ARRC.
Masalah yang dihadapinya itu mendorong Saidatul Zakirah mengambil keputusan drastik pulang ke tanah air kerana peluang untuk bergelar pelumba di Malaysia lebih terbuka luas serta kompetitif.
Katanya, sejak umurnya 15 tahun, dia mula belajar berdikari menaiki bas sendiri dengan bantuan ibu saudaranya untuk berulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur bagi menyertai latihan di Litar go-kart Sepang setiap hujung minggu.
“Saya tinggal di Puchong, kediaman milik ayah saya dan setiap hujung minggu, mekanik akan ambil saya di rumah bawa saya ke Sepang bagi menjalani latihan.
“Begitulah rutin saya yang perlu mengagihkan masa antara pelajaran dan pelumba motosikal. Saya mahu maju di dalam kedua-dua bidang dan sebab itu saya mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang,” kata penuntut Advance Tertiary College itu.

Melakukan penampilan sulung sebagai pelumba Cub Prix pada 2021, sebelum dia beralih angin ke dalam Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) pada penghujung 2022, sehingga berjaya mencatat keputusan podium dalam tahun berkenaan.
Tidak terhenti setakat penyertaan di dalam MSBK, Saidatul Zakirah juga mengembangkan sayapnya beraksi di dalam Kejohanan Motosikal Wanita Eropah (WEC) pada tahun lalu dan juga bagi musim 2025.
Penerima Anugerah Pelumba Motosikal Terbaik Wanita 2024 itu yang baharu sahaja muncul sebagai naib juara dalam perlumbaan 2 kelas QSPP300 pada Kejuaraan Super Stock Qatar 2025 turut menyimpan impian bergelar seorang peguam.
“Saya mahu menjadi peguam yang dapat membantu para atlet memahami dengan baik perjanjian kontrak yang ditandatangani mereka dan dalam masa sama saya juga menyimpan impian beraksi pada Kejohanan Dunia Superbike satu hari nanti,” katanya menutup perbualan.-UTUSAN