Rentak perlahan punca Sze Fei-Izzuddin tersingkir

Rentak perlahan punca Sze Fei-Izzuddin tersingkir

Nur Izzuddin Mohd Rumsani-Goh Sze Fei kandas di pusingan kedua All England 2025.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rentak permainan yang lebih perlahan berbanding lawan menjadi faktor utama kekalahan beregu lelaki negara No. 2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di pusingan kedua All England 2025, semalam.

Turun selaku pilihan kedua, beregu profesional itu tunduk kepada pasangan pecah ganding dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 16-21, 13-21 di Utilita Arena, Birmingham.

Sze Fei mengakui bahawa mereka gagal mengawal tempo permainan apabila lawan bermain dengan lebih pantas dan mendominasi setiap pergerakan di gelanggang.

Menurutnya, pasangan Korea itu berada dalam kelas tersendiri dan jika terus mengekalkan prestasi tersebut, mereka berpotensi menjuarai kejohanan ini.

“Saya rasa mereka lebih laju daripada kami dan berjaya mengawal rentak permainan. Saya cuba mencipta peluang untuk rakan saya (Izzuddin) menyerang, tetapi ianya tidak menjadi seperti yang dirancang.

“Mereka memang kegemaran (pilihan utama) dan sentiasa menjadi pencabar kejuaraan. Saya percaya mereka mempunyai keupayaan untuk memenangi kejohanan ini dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka,” kata Sze Fei kepada BWF selepas perlawanan.

Sze Fei turut mengakui kegagalan mereka untuk mengadaptasi permainan dengan cepat memberi kelebihan kepada lawan yang lebih bersedia dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, Izzuddin menjelaskan bahawa lawan mereka kali ini mengubah strategi dengan tidak banyak bermain bulu tangkis tinggi, menjadikan mereka sukar untuk mencari peluang menyerang.

“Mereka berjaya membaca strategi kami lebih awal dan tidak banyak mengangkat bulu tangkis hari ini (semalam), menyebabkan kami kesukaran untuk melancarkan serangan,” kata Izzuddin.

Sze Fei-Izzuddin kini berazam untuk memperbaiki kelemahan dan kembali lebih kuat pada Terbuka Switzerland yang berstatus Super 300 di Basel sebagai kejohanan seterusnya dalam kalendar mereka yang bermula pada 19 Mac ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya