Rachel, Aifa ke pusingan kedua Terbuka Australia

Rachel, Aifa ke pusingan kedua Terbuka Australia

Rachel Arnold mara ke pusingan kedua Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini. - Ihsan PSA Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua wakil Malaysia, Rachel Arnold dan Aifa Azman melepasi halangan pusingan pertama selepas menundukkan lawan masing-masing pada Kejohanan Skuasy Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini.

Rachel yang menghuni ranking No. 19 dunia dipaksa bermandi keringat sebelum beroleh kemenangan ke atas pemain muda Mesir, Nour Heikal 7-11, 9-11, 11-5, 11-6, 11-4 dalam masa 51 minit.

Kejayaan itu bakal menemukan pemain berusia 29 tahun itu dengan seorang lagi bintang Mesir yang berada di ranking No. 9 dunia, Rowan Elaraby pada pusingan kedua, esok.

Dengan rekod pertemuan kedua-dua pemain terikat 3-3, Rachel memiliki kelebihan psikologi ke atas Rowan kerana pertemuan terakhir mereka di suku akhir Terbuka China, tahun lalu, berpihak kepada anak jati Kuala Lumpur itu.

Aifa pula yang tidak menyertai Terbuka New Zealand, minggu lalu, tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Alex Haydon 11-5, 11-5, 11-5 dalam masa 23 minit.

Pada peringkat seterusnya, Aifa yang kini jatuh di tangga ke-42 dunia bakal berdepan laluan sukar menentang pemain No. 12 dunia, Fayrouz Aboelkheir juga dari Mesir.

Aifa, 23, pernah tewas sekali di tangan Fayrouz yang berusia 19 tahun dalam pertarungan sengit lima set 8-11, 11-7, 6-11, 11-6, 5-11 pada pusingan kedua Terbuka Britain, tahun lepas.

Sementara itu, dua lagi pemain Malaysia dalam saingan wanita, Aira Azman dan Noor Ainaa Amani Ampandi disekat kemaraan mereka pada pusingan pertama.

Pemain No. 28 dunia, Aira Azman tewas mengejut kepada wakil Kanada, Nicole Bunyan yang berada di tangga ke-52 dunia 9-11, 11-9, 11-4, 7-11, 8-11 dalam masa 47 minit.

Ainaa pula terpaksa akur kepada pilihan 9/16, Marina Stefanoni dari Amerika Syarikat 9-11, 3-11, 8-11 dalam masa 28 minit.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, satu-satunya wakil negara yang beraksi hari ini, Bryan Lim kalah kepada Iker Pajares dari Sepanyol 3-11, 6-11, 11-9, 8-11 dalam masa 51 minit.

Esok, pemain pilihan akan mula turun ke gelanggang dengan bintang No. 7 dunia S. Sivasangari bakal bertemu Lee Ka Yi dari Hong Kong dan Ng Eain Yow yang menghuni kedudukan ke-12 dunia menentang Mohamad Zakaria dari Mesir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya