PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bukan sekadar membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan selepas menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, malah turut menerima duit raya daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Tunku Ismail berkenan mencemar duli dengan berangkat ke Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, semalam bagi bertemu barisan pemain serta pegawai pasukan kendalian Peter Cklamovski itu.
Lebih manis, baginda bukan sekadar memberikan kata-kata semangat, malah turut berkenan mengurniakan ‘duit raya’ kepada setiap pemain, barisan kejurulatihan serta staf sokongan sebagai tanda penghargaan terhadap perjuangan mereka di pentas antarabangsa.
“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berangkat memberikan sokongan kepada pemain-pemain skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam di Johor malam tadi.
“Baginda turut berkenan memberikan kurniaan duit raya kepada pemain, barisan kejurulatihan dan semua staf sokongan. Menjunjung kasih, Tuanku,” demikian hantaran di laman Facebook rasmi Malaysia NT, hari ini.
Kemenangan ke atas Nepal meletakkan Malaysia di landasan terbaik dalam kempen kelayakan dan aksi bertenaga yang dipamerkan memberi keyakinan bahawa Harimau Malaya mampu melakar sejarah sekali lagi. – UTUSAN