PETALING JAYA: Kerajaan mengambil inisiatif memperkenalkan pelepasan cukai baharu sehingga mencecah RM1,000 bagi menggalakkan semua rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif bersukan.
Pelepasan cukai itu mampu dinikmati buat mereka yang terlibat dalam aktiviti sukan termasuklah yuran latihan sukan.
Inisiatif berkenaan telah diumumkan dalam Belanjawan 2024 dan telah berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2024.
Melalui pelaksanaan pelepasan cukai sukan itu, ia dijangka mampu memberi manfaat besar kepada individu yang aktif bersukan, selain turut memberi kebaikan kepada industri-industri sukan negara.
Pelaksanaan cukai sukan kali ini juga lebih meluas, apabila melibatkan sebanyak 103 jenis sukan yang diwartakan berbanding 51 sukan sebelum ini.
Diharap, langkah ini mampu menarik minat dan mendorong semua lapisan masyarakat untuk melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai acara sukan dan aktiviti rekreasi.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh menegaskan bahawa langkah ini sebagai satu perubahan cukup penting yang bukan sahaja menggalakkan rakyat beriadah tetapi juga menyokong perkembangan sektor sukan tempatan.
Jelasnya, pelepasan cukai khas itu boleh digunakan untuk peralatan sukan yang boleh digunakan untuk menyertai kejohanan, gimnasium dan latihan sukan.
“Latihan sukan ini bermaksud pembayar cukai boleh gunakan untuk belajar sukan atau membayar jurulatih dan mereka boleh kumpul resit untuk diri sendiri, pasangan serta anak-anak.
“Bagi tahun 2025, rebat itu diperluaskan kepada ibu bapa pembayar cukai, menggalakkan warga emas amalkan gaya hidup sihat.
“Melalui norma baharu ini, rakyat menjadi lebih sihat seterusnya kerajaan dapat mengurangkan peruntukan rawatan kesihatan,” kata Hannah.
Katanya, walaupun ada beranggapan had RM1, 000 ditetapkan adalah rendah namun beliau tidak menolak amaun itu akan dipertingkatkan pada masa hadapan dan ia bergantung kepada maklum balas pengguna melalui data yang dikumpulkan.
Harus diingat bahawa, pembelian Peralatan Sukan hanyalah peralatan yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], dan tidak termasuk basikal dua roda bermotor.
Selain itu, bayaran sewaan kemasukan ke fasiliti sukan turut mendapat pelepasan cukai, contohnya, bayaran untuk sewa gelanggang badminton, gimnasium, atau kolam renang.
Para pencukai juga boleh mendapat pelepasan cukai menerusi bayaran pendaftaran untuk menyertai pertandingan tetapi dengan syarat ia perlu diiktiraf oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau badan sukan berdaftar.
Selain itu, mana-mana individu yang membayar yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan turut mendapat pelepasan cukai tetapi ia mesti dikendalikan oleh jurulatih atau organisasi berdaftar.
Namun begitu, salah satu perubahan besar dalam insentif kali ini adalah yuran latihan sukan kini boleh dituntut, selagi ia memenuhi kriteria berikut.
Latihan itu perlu dilakukan secara berstruktur, seperti kelas, klinik, kursus atau bengkel, begitupun jenis sukan mesti termasuk dalam Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].
Penyedia latihan juga harus berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.
Di samping itu, perkara paling utama adalah perbelanjaan perlu dibuktikan dengan resit rasmi daripada badan sukan dan syarikat berdaftar kerana slip bank-in atau penyata akaun bank tidak diterima sebagai bukti pembayaran.
Menerusi pelepasan cukai ini, ia tidak hanya memberi kelebihan kepada individu, tetapi juga membuka peluang besar kepada industri sukan seperti akademi sukan, gimnasium, serta jurulatih peribadi dijangka menerima lebih ramai pelanggan yang ingin memanfaatkan insentif ini.
Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan sebarang masalah dalam tuntutan cukai, orang ramai digalakkan menyemak penyedia latihan sukan terlebih dahulu sebelum mendaftar ke mana-mana program.
Semakan boleh dilakukan menerusi portal rasmi www.erosa.kbs.gov.my, yang menyediakan maklumat lengkap mengenai badan sukan dan aktiviti yang diiktiraf.
Menerusi pelaksanaan yang efektif ini, pelepasan cukai sukan bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia, tetapi juga membantu membangunkan industri sukan ke tahap yang lebih profesional dan kompetitif di peringkat antarabangsa. – UTUSAN