Pearly-Thinaah sandaran Malaysia di Piala Sudirman

Pearly-Thinaah sandaran Malaysia di Piala Sudirman

Pearly Tan-M. Thinaah menjadi sandaran utama negara pada kejohanan Piala Sudirman di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, bakal memikul tanggungjawab besar sebagai tunjang kekuatan Malaysia dalam misi memburu tiket ke suku akhir Piala Sudirman di Xiamen, China pada 27 April hingga 4 Mei depan.

Skuad negara berdepan laluan berliku dalam Kumpulan C apabila diundi bersama gergasi badminton dunia, Jepun, serta dua kuasa baharu Perancis dan Australia.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, optimis Pearly-Thinaah mampu menjadi penyumbang mata penting dalam menentukan hala tuju Malaysia di kejohanan berpasukan campuran berprestij itu.

“Berdasarkan percaturan semasa, harapan Malaysia di Piala Sudirman banyak bergantung kepada kekuatan beregu wanita.

“Pertemuan dengan Jepun pasti mencabar, tetapi Pearly-Thinaah berpeluang menghadiahkan mata berharga apabila berdepan Perancis dan Australia,” kata Rosman.

Gandingan negara dijangka mengharungi perlawanan getir menentang juara All England, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, yang memiliki rekod dominan 12-1 ke atas mereka.

Selain itu, mereka juga bakal berdepan cabaran daripada beregu Perancis, Margot Lambert-Anne Tran, yang pernah mengejutkan ramai dengan kejayaan muncul juara Kejohanan Eropah tahun lalu.

Sementara itu, Rosman berharap Pearly mencapai tahap kecergasan terbaik sebelum kejohanan berlangsung bagi memastikan mereka dapat turun dengan semangat juang tinggi dan membawa cabaran negara ke peringkat lebih jauh.

“Saya berharap Pearly berada pada tahap kecergasan 100 peratus di Piala Sudirman supaya mereka dapat memberikan aksi terbaik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya