PETALING JAYA: Kecekalan dan semangat setiakawan menjadi kunci kekuatan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang tetap beraksi di suku akhir All England meskipun berdepan kecederaan.
Pearly yang mengalami kecederaan buku lali sejak pusingan kedua jelas tidak berada pada tahap terbaik, namun Thinaah sanggup menggalas tanggungjawab lebih besar bagi memastikan mereka terus bersaing.
“Saya bersyukur dapat habiskan perlawanan, tapi penghargaan sebenar harus diberikan kepada Thinaah kerana dia berjuang habis-habisan untuk menutup kelemahan saya,” kata Pearly.
Dalam masa yang sama, Thinaah mendedahkan mereka pada awalnya bercadang menarik diri, tetapi tekad untuk meneruskan perjuangan di kejohanan berprestij itu mengatasi segala keraguan.
“Kami lebih banyak berbual dan saling memberi motivasi sebelum perlawanan kerana tahu situasi ini bukan mudah untuk diharungi,” kata Thinaah.
Pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama, turut menunjukkan semangat kesukanan tinggi apabila tidak mengambil kesempatan terhadap kecederaan Pearly, sebaliknya memilih permainan secara terbuka.
Terdahulu, aksi Thinaah mengangkat Pearly selepas tamat pusingan kedua pada Khamis turut mencuri perhatian peminat, yang melihatnya sebagai lambang kesetiaan dan persahabatan sejati dalam sukan.
Untuk rekod, Malaysia masih belum menjuarai kejohanan tertua itu menerusi kategori beregu wanita dan pencapaian tertinggi setakat ini adalah menerusi Chin Eei Hui-Wong Pei Tyy yang mara ke separuh akhir pada edisi 2007.-UTUSAN