PETALING JAYA: Pengarah Teknikal program terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee menegaskan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri memerlukan lebih banyak penyertaan dalam kejohanan dunia bagi memastikan prestasi mereka kekal di tahap tertinggi.
Menurutnya, kedua-dua atlet itu perlu terus diberikan peluang untuk bersaing di peringkat antarabangsa agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan tekanan pertandingan serta meningkatkan tahap kecekapan masing-masing.
“Untuk mereka berdua, saya akan teruskan perancangan sebelum ini. Kita perlukan lebih banyak penyertaan dalam pertandingan dan tugas mereka adalah untuk berlatih di bawah seorang jurulatih yang benar-benar memahami keadaan mereka,” katanya.
Ken Nee turut menyatakan bahawa Pandelela dan Dhabitah yang sudah banyak menyertai temasya besar seperti Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia dan kedua-duanya mempunyai pengalaman luas yang boleh membantu mereka memahami apa yang terbaik.
“Pandelela dan Dhabitah sudah banyak berkhidmat untuk negara dan memenangi pelbagai kejuaraan. Mereka sudah mencapai banyak kejayaan dan memahami keperluan serta hala tujunya dalam sukan ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan terkini, skuad terjun negara bakal beraksi dalam kejohanan Piala Dunia yang dijadualkan berlangsung di Mexico dan Kanada pada 3 hingga 6 April ini.
Kejohanan tersebut dijangka menjadi medan penting bagi penerjun negara untuk mengukur tahap persiapan mereka menjelang kejohanan lebih besar yang akan datang.-UTUSAN