PETALING JAYA: Skuad bola sepak pantai kebangsaan memulakan kempen Piala Asia 2025 dengan langkah kiri selepas tewas tipis 3-4 kepada Bahrain dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D di Jomtien Beach Arena,semalam.
Malaysia yang turun dengan misi mencipta kejutan berdepan juara edisi 2006 itu mempamerkan aksi bertenaga, namun gagal menghalang keampuhan lawan dalam perlawanan penuh dramatik.
Bahrain terlebih dahulu membuka jaringan menerusi rembatan jarak jauh Samoul Elsir Alnoor yang menewaskan penjaga gol negara, Mohamad Syujak.
Tidak mahu mengalah, anak buah Saiful Md Noor pantas mengatur serangan dan berjaya menyamakan kedudukan hasil tolakan Hafizal Alias dari dalam kotak penalti.
Bersambung babak kedua, Bahrain kembali di hadapan apabila rembatan deras penjaga gol, Sayed Mohamed Abbas, terus menerjah jaring Malaysia.
Malang terus menimpa skuad negara apabila Faris Iman tertanduk bola ke gawang sendiri, membolehkan Bahrain mendahului selesa 3-1 di pertengahan aksi.
Bagaimanapun, semangat juang tinggi yang ditampilkan Harimau Malaya membuahkan hasil apabila Mohamad Nurazman merapatkan jurang 3-2 menerusi sepakan gunting cantik sebelum tandukan deras Ridhwan Zainal mengikat kedudukan seawal babak ketiga.
Namun, impian Malaysia untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata lebur selepas Isa Ghaleb memastikan kemenangan Bahrain menerusi tandukan pada penghujung permainan.
Malaysia bakal turun menentang Oman dalam aksi kedua kumpulan pada esok, manakala Bahrain dijadualkan bertemu Vietnam pada hari yang sama.-UTUSAN