PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen Kumpulan B acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2025 dengan bergaya selepas menundukkan Perancis 2-0 di Bihar, India, hari ini.
Skuad negara yang diketuai Muhammad Shahalril Aiman Halim serta dibantu Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Fetri Mohd Azwadi tampil dominan apabila menang selesa set pertama 15-6 di Stadium Tertutup Patliputra.
Memasuki set kedua, jurulatih melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin, namun Malaysia kekal di landasan kemenangan apabila menamatkan perlawanan dengan keputusan 15-7.
Skuad negara kini bersedia menghadapi cabaran lebih getir apabila dijadual menentang Myanmar dalam aksi kedua kumpulan, hari ini. – UTUSAN