PETALING JAYA: Malaysia muncul juara Kumpulan A selepas melakar kemenangan dalam kesemua empat perlawanan dan sekali gus, menempah tempat ke separuh akhir dalam aksi beregu lelaki pada Piala Dunia Sepak Takraw 2025 di Bihar, India, hari ini.
Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu terpaksa berdepan jadual padat dengan empat perlawanan perlu diharungi barisan pemain negara dalam tempoh sehari.
Walaupun berpuasa, namun, skuad negara beraksi cemerlang apabila mencipta empat kemenangan bermula dengan perlawanan menentang Taiwan yang berkesudahan Malaysia mencipta kejayaan mudah 15-6, 15-7 pada saingan yang berlangsung sebelah pagi.
Selepas itu, Malaysia turun sekali lagi ke gelanggang, tetapi, kali ini, mereka bertemu buku dengan ruas apabila dipaksa berhempas pulas sebelum menundukkan Vietnam 13-15, 15-11, 15-12 di Stadium Tertutup Patliputra.
Ketika menentang tuan rumah, India pula skuad negara yang diperkuatkan Aidil Aiman Zawawi, Noraizat Nordin dan Shaharil Aiman sebagai pemain simpanan melakar kemenangan 15-11, 15-12.
Malaysia menutup aksi mereka selaku juara Kumpulan A selepas tidak berdepan masalah menewaskan Poland 15-2, 15-5 menerusi gandingan Aidil dan Shaharil.
Kemaraan skuad kebangsaan mara ke separuh akhir sekurang-kurangnya menebus kekecewaan pasukan kuadran lelaki yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan, semalam.
Pada separuh akhir, esok, Malaysia akan berdepan Thailand yang muncul sebagai naib juara Kumpulan B.
Pasukan dari negara tetangga itu tewas mengejut di tangan Myanmar 15-10, 7-15, 9-15 dalam aksi bagi menentukan juara dan naib juara Kumpulan B.
Ahmad Jais ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, beliau menjangkakan pertemuan antara Malaysia dan Thailand, esok, berlangsung seimbang kerana kedua-dua pasukan masih belum mendapatkan rentak sebenar.
“Mungkin, esok, hari terbaik untuk pasukan kebangsaan pamerkan prestasi sebenar mereka agar kejayaan dapat diterjemahkan dalam perlawanan separuh akhir,” katanya.
Myanmar pula selaku juara Kumpulan B dijangka beraksi menentang naib juara Kumpulan A sama ada Vietnam atau India dalam satu lagi separuh akhir. – UTUSAN