PETALING JAYA: Malaysia gagal mempertahankan gelaran juara dunia acara beregu selepas tumpas kepada Thailand dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2025 di Bihar, India, semalam.
Skuad kebangsaan yang diwakili gandingan Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Nordin serta Shaharil Aiman selaku pemain simpanan tewas dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 9-15, 17-15, 15-17 di Stadium Tertutup Patliputra.
Walaupun Malaysia tumpas, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharun tetap memuji usaha keras yang dipamerkan anak-anak buahnya sehingga berjaya mengheret Thailand beraksi dalam set penentuan.
“Saya melihat perlawanan separuh akhir agak seimbang, kedua-dua pasukan telah mempamerkan prestasi yang lebih
konsisten, cuma daripada segi tuah, memihak sedikit kepada pasukan Thailand,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kekalahan itu bermakna skuad negara gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada edisi 2024 selepas Malaysia mengejutkan Thailand dalam perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai persembahan para pemainnya, Ahmad Jais berkata, walaupun skuad bimbingannya berjaya mendahului ketika ‘tie break’, tetapi pada penghujung saingan beberapa servis telah memberi kelebihan kepada Thailand.
“Kita akan cuba gandakan lagi usaha, perbaiki lagi kelemahan untuk kita mempersiapkan beregu kita ke Piala Asia nanti, insya-Allah,” katanya.
Untuk makluman, Malaysia akan menjadi tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Mei ini, membabitkan penyertaan 15 negara.
Turut meraih pingat gangsa pada kejohanan tersebut ialah skuad kuadran wanita selepas mereka berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir dan Malaysia masih mempunyai dua lagi acara iaitu kuadran campuran yang bermula, semalam, serta acara regu membabitkan pasukan wanita, hari ini.
Skuad lelaki tidak menyertai acara regu kerana kategori tersebut hanya dianjurkan secara jemputan pada Piala Dunia kali ini di mana pasukan pilihan seperti Thailand dan Malaysia tidak bertanding.-UTUSAN