KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berharap Kuala Lumpur(KL) City FC kekal bersaing dalam Liga Super, musim depan.
Menurut Khalid, sekiranya KL City FC turun ke saingan Liga Perdana, ia merupakan satu langkah ke belakang untuk pasukan serta bola sepak Malaysia secara keseluruhannya.
“Selama saya menjadi Presiden, saya berusaha memastikan KL City berada dalam Liga Super, dengan harapan pasukan ini bukan sahaja bersaing di liga tertinggi, tetapi juga memberi sumbangan kepada pembangunan bola sepak di Malaysia,” kata Khalid.
Khalid berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden KLFA, Syed Yazid Bin Syed Omar tentang kemungkinan pasukan berkenaan turun pangkat beraksi di Liga Perdana.
Menurut Khalid, kenyataan itu satu pengkhianatan terhadap perjuangan serta usaha keras yang telah dilakukan untuk membawa KL City ke tahap yang lebih tinggi termasuk di Asia.
Katanya lagi, faktor kewangan bukan masalah utama kerana pada zamannya, KLFA meraih dana daripada DBKL dan menjalin usaha sama untuk pembangunan tanah akademi.
Khalid juga mengkritik kenyataan mengenai hutang RM24 Juta yang dikaitkan dengan KLFA dan KL City FC dengan menyatakan jumlah yang disebutkan adalah tidak masuk akal.
“RM24 Juta itu adalah satu jumlah yang tidak munasabah dan selepas 5 bulan lebih kurang tiba-tiba dia kata berjaya kurangkan ke 15 juta ini nampak macam angka main petik,” katanya.
Beliau juga memberi penegasan bahawa pasukan bola sepak tersebut perlu mendapat sokongan yang berterusan, baik dari DBKL mahu pun kementerian, agar ia kekal relevan.
Khalid turut mencadangkan agar pengurusan sedia ada melepaskan pasukan kepada pihak yang lebih berkemampuan untuk terus mempertahankan status KL City FC di Liga Super.
“Jangan kerana kekurangan sokongan dan kewangan, kita bawa KL City ke Liga Perdana. Kita perlu terus kekalkan pasukan ini di Liga Super dan beri peluang kepada pemain serta jurulatih untuk berkembang dan menunjukkan potensi mereka,” tegasnya.-UTUSAN