PETALING JAYA: Penyertaan Brunei ke dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dilihat sebagai langkah positif yang mampu menyegarkan kembali landskap bola sepak tempatan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berkata, dengan Liga M yang kini menghadapi cabaran kekurangan pasukan, kehadiran Brunei mampu meningkatkan daya saing liga.
“Kita mahu Liga kita kembali kompetitif seperti dahulu. Jika Brunei menyertai dan lebih menarik sekiranya Singapura mahu menghantar pasukannya, ini akan menjadikan liga lebih menarik dan berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, kemasukan pasukan dari luar Malaysia turut membuka peluang kepada pemain tempatan untuk beraksi dalam suasana yang lebih mencabar, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme dan daya saing mereka.
“Brunei dan Singapura mempunyai asas kewangan yang lebih stabil. Ini dapat membantu mengelakkan insiden pasukan menarik diri atau gagal membayar gaji pemain, yang sering berlaku dalam bola sepak tempatan,” jelasnya.
Beliau juga menekankan kepentingan ketelusan dalam menilai penyertaan pasukan ke Liga Super oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan badan berkaitan.
“Kita tidak mahu pasukan yang tidak kukuh dari segi kewangan diberikan lesen semata-mata atas faktor tertentu. Ini akan hanya merosakkan reputasi liga dan memberi kesan kepada para pemain,” tegasnya.
Beliau yakin, sekiranya Brunei diberi peluang beraksi dalam Liga M, ia akan memberi nafas baharu kepada saingan domestik selain meningkatkan daya saing dan minat penyokong terhadap liga.
“Kita mahu melihat lebih banyak pasukan bersaing merebut kejuaraan dan bukan hanya didominasi oleh satu atau dua pasukan sahaja. Penyertaan kelab dari luar Malaysia ini boleh menjadi pemangkin ke arah perubahan positif dalam bola sepak tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, pihaknya bersedia membuka ‘pintu’ kepada mana-mana kelab luar negara yang berminat untuk menyertai saingan Liga M musim 2025-2026.
Bagaimanapun katanya, perkara itu perlu mengambil kira kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terlebih dahulu sebelum cadangan tersebut dilaksanakan.
“Sudah tentu kami terbuka tetapi kami perlu mengambil kira juga bila liga akan bermula dan bila liga di negara berkenaan berakhir. Kami tidak ada masalah selagi mendapat sokongan daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) diikuti kelulusan AFC dan seterusnya dibawa ke FIFA,” katanya.
Ditanya mengenai spekulasi Brunei akan kembali mewarnai kancah Liga Super, Shazli berkata sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.-UTUSAN