Kekalkan taktikal menyerang

Kekalkan taktikal menyerang

SKUAD Harimau Malaya memberi komitmen penuh dalam sesi latihan di bawah barisan kejurulatihan yang diketuai Peter Cklamovski menjelang aksi berdepan Nepal dalam kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya perlu mengekalkan taktikal menyerang ketika berdepan Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.

Bekas pemain kebangsaan, Mohd. Badhri Radzi berkata, taktikal menyerang dapat memberi jaminan Harimau Malaya akan dihidangkan dengan deretan peluang untuk menjaringkan gol.

Badri yang lebih dikenali sebagai Piya berkata, kualiti pemain yang ada dalam skuad kendalian Peter Cklamovski ketika ini wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk era baharu bola sepak negara.

“Setiap pemain ada kelebihan masing-masing dan kita perlu gunakan kelebihan itu dengan strategi yang tepat. Kita tahu Harimau Malaya mempunyai DNA permainan menyerang dan itu harus diteruskan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) atas usaha membawa bola sepak negara ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai ketiadaan perlawanan persahabatan untuk menguji pemain, bekas kapten Kelantan itu berpendapat ia mungkin langkah untuk mengelakkan kecederaan yang boleh menjejaskan persiapan pasukan.

“Mungkin ada sebab tertentu mengapa tiada perlawanan persahabatan, mungkin untuk menjaga kecergasan pemain dan mengelakkan kecederaan sebelum perlawanan penting,” tambahnya.

Sementara itu, Badhri turut menyambut baik kepulangan Faisal Halim ke dalam skuad kebangsaan, menyifatkan kehadiran pemain sayap lincah itu bakal memberi impak besar kepada pasukan.

“Faisal seorang pemain berkualiti, begitu juga dengan Arif Aiman Hanapi. Mereka mampu memperkuatkan pasukan terutama di bahagian serangan dan memberi variasi dalam corak permainan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan tinggi terhadap dua pemain warisan baharu yang menyertai kem latihan kebangsaan.

“Ini satu peluang besar buat mereka. Jika mereka ada kualiti dan dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan Harimau Malaya, ia pasti beri kelebihan kepada pasukan,” katanya.

Skuad kebangsaan kini dalam fasa akhir persiapan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2027, dengan harapan untuk menggenggam tiga mata pertama di laman sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya