KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, bertekad untuk memberi saingan sengit di Kejohanan Badminton All England 2025 meskipun bakal berdepan laluan berliku dalam kejohanan berprestij itu.
Pada aksi pusingan pertama, Jun Hao dijadualkan bertemu juara bertahan dari Indonesia, Jonatan Christie, sekali gus menjadikannya perlawanan yang penuh cabaran sejak awal kejohanan.
“Ya, memang cabaran sukar kerana ini kejohanan besar dan semua lawan adalah yang terbaik.
“Saya perlu bersedia sebaik mungkin kerana Jonatan adalah juara bertahan All England, dan sudah tentu dia bukan lawan yang mudah,” kata Jun Hao kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.
Pada Masters Jepun November lalu, pemain berusia 26 tahun itu mempamerkan kebangkitan luar biasa pada aksi separuh akhir untuk menumpaskan Jonatan, 10-21, 21-18, 22-20 bagi memberinya laluan ke perlawanan akhir.
Justeru, Jun Hao percaya kejayaan menewaskan Jonatan sebelum ini boleh menjadi kelebihan dari segi keyakinan, namun menegaskan bahawa prestasi semasa adalah faktor paling penting dalam kejohanan ini.
Beliau turut melihat pengalaman menyertai kejohanan Super 1000 sebelum ini sebagai persediaan berguna, tetapi menyedari bahawa All England adalah pentas yang lebih besar dan memerlukan tahap permainan yang lebih tinggi.
“Saya rasa setiap kejohanan sama ada besar atau kecil tetap memerlukan aksi terbaik.
“Pengalaman dari kejohanan Super 1000 sebelum ini mungkin membantu, tetapi All England adalah sesuatu yang berbeza dan saya tidak tahu bagaimana rasanya kerana ini kali pertama saya beraksi di sini,” jelasnya.-UTUSAN