PETALING JAYA: Pasukan Liga Super yang meminjam pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh menarik nafas lega apabila juara bertahan liga utama itu bersedia memberi kelonggaran dengan membenarkan pemain berkenaan beraksi menentang skuad Harimau Selatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail berkata perubahan tersebut akan diguna pakai pada saingan musim depan dengan tidak akan terikat dengan perjanjian pinjaman atau ‘gentlemen agreement’.
Langkah itu antara beberapa perubahan yang bakal dilaksanakan JDT pada musim depan dan skuad Harimau Selatan mahu menoktahkan tanggapan bahawa ia adalah satu kelebihan jika pasukan lain meminjam pemain mereka.
“Ada pemain kita yang dipinjamkan kepada kelab dalam liga (Liga M). Pembayaran gaji masih lagi kita bayar separuh dan kelab yang dipinjamkan bayar separuh lagi.
“Tapi untuk musim depan, pemain yang dipinjamkan boleh bermain menentang kita (JDT) dalam lagi. Saya akan minta pengurusan untuk buat perkara ini.
“Saya tidak mahu orang fikir JDT ada kelebihan bila jumpa dengan pasukan yang ada pemain kami di sana. Jadi mulai musim depan, pemain boleh main lawan kita,” kata Tunku Mahkota Ismail ketika jamuan moreh bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Johor Bahru, Selasa lalu.
Sebelum ini, isu ‘gentlemen agreement’ menjadi topik ‘panas’ peminat bola sepak tempatan terutama melibatkan pemain JDT yang dipinjamkan ke kelab lain.
Sebelum ini, pemain yang dipinjamkan terikat dengan perjanjian berkenaan kerana pasukan asal masih membayar separuh gaji pemain sekali gus tidak dibenarkan bermain menentang pasukan asal.
Perkara itu bukan hal baharu dalam dunia bola sepak sebaliknya kaedah sama turut digunakan oleh beberapa kelab di luar negara yang meminjamkan pemain mereka.-UTUSAN