PETALING JAYA: Dua pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya, Hector Hevel dan Gabriel Palmero perlu membuktikan mereka layak menyarung jersi kebangsaan sekiranya diturunkan ketika menentang Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim(SSI), malam ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berkata, kehadiran dua pemain warisan baharu itu perlu memberi impak serta membuktikan usaha membawa mereka ke dalam skuad negara bukan satu kesilapan.
“Kita semua belum pernah lihat mereka bermain. Malah, rekod mereka pun tidak begitu menonjol, jadi harapan kita adalah mereka mesti lebih baik daripada pemain tempatan yang sedia ada.
“Jika mereka tidak menunjukkan prestasi lebih baik daripada Dion Cools, maka usaha membawa mereka ke Malaysia boleh dianggap sia-sia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas pengurus Selangor FC itu berkata, perlawanan menentang Nepal menjadi pentas terbaik buat mereka membuktikan kemampuan sebenar, meskipun lawan itu dilihat sebagai pasukan bukan pilihan dalam ranking bola sepak antarabangsa.
“Walaupun Nepal sebuah pasukan kerdil dalam bola sepak, kita tidak boleh sesekali mengambil mudah. Ini peluang buat pemain warisan untuk membuka mata peminat dan membuktikan pemilihan mereka adalah tepat, bukan sekadar pelengkap skuad,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai taktikal di bahagian serangan skuad bimbingan Peter Cklamovski yang kini menjadi tanda tanya kepada penyokong bola sepak tempatan.
Katanya, Harimau Malaya sejak era beberapa jurulatih terdahulu seperti Tan Cheng Hoe dan Kim Pan-gon berdepan masalah ketumpulan di jentera serangan, dan diharapkan Cklamovski mampu membawa perubahan.
“Kita mahu melihat pendekatan berbeza kali ini. Jika masih mengekalkan formasi biasa dengan Arif Aiman di kanan, Faisal Halim di kiri dan penyerang utama sama seperti sebelum ini, maka tidak banyak yang berubah.
“Peter perlu berani lakukan eksperimen, mungkin dengan meletakkan Arif Aiman lebih ke hadapan atau mengubah taktikal bagi memberi kepelbagaian dalam serangan,” katanya.-UTUSAN