Herry akui beregu lelaki negara gagal di All England

Herry akui beregu lelaki negara gagal di All England

Herry Iman Pierngadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM), Herry Iman Pierngadi mengakui tiga beregu lelaki negara gagal dalam misi mereka di All England 2025 selepas tersingkir seawal pusingan pertama.

Menurut jurulatih kelahiran Indonesia itu, tersingkir seawal pusingan pertama di kejohanan berprestij seperti All England adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diterima oleh barisan kejurulatihan dan peminat badminton Malaysia.

Herry yang jelas kecewa dengan prestasi anak buahnya juga tidak berselindung dalam menyatakan bahawa keputusan berkenaan berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk kelemahan pemain sendiri.

“Memang penampilan di All England tidak bagus kerana beberapa faktor. Saya juga tidak pasti kerana tidak pergi ke sana, tetapi ada mendapat maklumat daripada Muhammad Miftakh bahawa Aaron Chia mengalami kecederaan tangan.

“Apa yang boleh saya cakap, memang penampilan pada All England kali ini boleh dianggap gagal,” katanya selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, semalam.

Dalam aksi di All England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas kepada beregu muda Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula tunduk di tangan pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Beregu pelapis negara, Arif Junaidi-Yap Roy King yang membuat penampilan sulung di kejohanan berkenaan juga gagal memberikan saingan sebelum tewas mudah kepada gandingan China, Huang Di-Liu Yang.

“Berhubung Wei Chong-Kai Wun, saya fikir mereka berpeluang untuk menewaskan beregu China itu, tetapi persembahan mereka di set kedua tidak bagus kerana terlalu mengikut rentak lawan. Masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Arif-Roy King pula baru pertama kali beraksi di All England, jadi menurut Miftakh, mereka terlalu teruja dan gagal mengawal perasaan. Selain itu, mereka juga tidak dapat mengelak daripada rasa gementar,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya