PETALING JAYA: Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim menyifatkan skuad kebangsaan kini berada dalam situasi genting menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dalam tempoh dua minggu lagi.
Beliau berkata, dengan ketiadaan pengumuman rasmi mengenai senarai pemain, ditambah isu naturalisasi dan pemain warisan yang masih tergantung, Malaysia tidak mempunyai banyak pilihan selain menurunkan pemain sedia ada bagi memastikan persiapan pasukan tidak terjejas.
“Kita setiap hari menantikan pengumuman rasmi, namun sehingga kini belum ada sebarang kenyataan daripada pihak pengurusan. Biasanya, sebelum perlawanan seperti ini, senarai pemain sudah diumumkan dan persiapan rapi telah dilakukan.
“Namun, kali ini nampaknya tidak ada perkembangan yang jelas. Jika kita terlalu bergantung kepada pemain naturalisasi tetapi mereka masih belum mendapatkan dokumen yang sah, ia bakal memberi kesan kepada keserasian pasukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau turut mempersoalkan hala tuju baharu yang dibawa oleh barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan yang baharu,Rob Friend.
“Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan, kita belum mendengar sebarang kenyataan konkrit daripada beliau mahupun Ketua Jurulatih. Adakah ini strategi baharu atau sememangnya ada masalah dalaman yang sedang melanda skuad kebangsaan?” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berpandangan FAM perlu segera mengadakan sidang media bagi memberi pencerahan kepada peminat dan penyokong bola sepak tanah air yang tertanya-tanya mengenai keadaan semasa skuad Harimau Malaya.
“Peminat dan penyokong layak untuk tahu apa yang sedang berlaku. Jika ada masalah dokumentasi, nyatakan dengan jelas. Jika ada isu dalaman, terangkan kepada umum supaya mereka memahami keadaan sebenar.
“Kita tidak boleh ambil mudah perlawanan menentang Nepal. Mereka mungkin bukan pasukan gergasi Asia, tetapi jika persiapan kita lemah, kita boleh menjadi mangsa di tangan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa keutamaan kini harus diberikan kepada kestabilan pasukan, dan sesiapa sahaja pemain yang tersedia perlu diberikan peluang untuk membentuk keserasian sebelum perlawanan berlangsung.
“Ketika ini, kita sudah tidak mempunyai pilihan lain. Tidak kira pemain tempatan atau pemain warisan, yang penting mereka bersedia untuk beraksi bagi mempertahankan maruah negara,” tambahnya.
Harimau Malaya bakal berdepan Nepal dalam aksi pusingan kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 Mac ini .-UTUSAN