Harimau Malaya dalam ‘mood’ terbaik

Harimau Malaya dalam ‘mood’ terbaik

Peter Cklamovski (kiri) bersama Matthew Davies pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Nepal dalam kelayakan Piala Asia 2027di Stadium Sultan Ibrahim-UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Barisan pemain Harimau Malaya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadiahkan kemenangan pertama Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.

Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, anak-anak buahnya sudah membuat persiapan rapi sepanjang tempoh lapan hari latihan pusat menjelang aksi pertama Kumpulan F itu dan tiga mata penuh menjadi sasaran utama pasukan.

“Ini adalah langkah pertama yang sangat penting bagi kami. Kami mahukan persembahan yang baik, keputusan yang baik dan apabila tiba masanya nanti, kami benar-benar mahu berada di Piala Asia.

“Penting juga untuk diingatkan bahawa kelayakan ke Piala Asia adalah matlamat jangka pendek kami dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan menentang Nepal, semalam.

Cklamovski berkata, selain memahami konsep dan falsafah bola sepak yang diterapkan, pemain juga perlu membina mentaliti kemenangan dalam pasukan ini.

“Mentaliti kemenangan memerlukan konsistensi dalam apa yang kita lakukan. Kita telah melalui hari-hari yang baik, tetapi kita perlu terus membina momentum itu.

“Jadi, dalam perlawanan esok (hari ini), kita mahu mengambil langkah pertama dengan cara yang positif, menjadi pasukan yang kuat. Kemudian, kita perlu terus membina mentaliti sebagai satu pasukan untuk menetapkan diri kita sebagai antara yang terbaik,” ujarnya.

Ditanya mengenai ujian pertamanya menentang Nepal, pengendali kelahiran Australia itu berkata, dia tidak pernah merasa tekanan walaupun ada yang akan membandingkan prestasinya dengan ketua jurulatih yang terdahulu.

“Tekanan tidak ada dalam kamus hidup saya dan perlawanan menentang Nepal bukanlah tentang diri saya. Ini adalah tentang skuad Harimau Malaya yang dibentuk untuk menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dengan corak permainan yang menghiburkan.

“Saya rasa sangat teruja dengan kumpulan pemain yang telah dibentuk, dan saya rasa kami bekerja dengan baik setiap hari bagi mengejar misi masa pendek untuk layak ke Piala Asia, jadi kami perlu muncul sebagai juara kumpulan,” katanya.

Dalam pada itu, Cklamovski memilih untuk tidak mendedahkan skuad 23 pemain yang akan disenaraikan pada perlawanan menentang Nepal.

Ditanya sama ada dua pemain warisan yang baharu menyertai skuad kebangsaan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero akan diturunkan, Cklamovski enggan berkongsi perkara tersebut bagi menimbulkan keterujaan menjelang perlawanan itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya