PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan bahawa Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025 akan berlangsung pada 26 April 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), bermula jam 9.00 malam.
Final edisi ke-98 itu pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 12 April 2025, namun tarikh berkenaan diubah selepas MFL menerima permohonan rasmi daripada Sri Pahang FC dengan persetujuan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut kenyataan MFL, perubahan ini dibuat selepas mengambil kira maklum balas kedua-dua kelab finalis yang mendapati ramai penyokong mereka menghadapi kekangan untuk hadir ke stadium pada tarikh asal, memandangkan ia masih dalam tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri.
MFL berharap, penetapan tarikh baharu ini akan memberi peluang kepada penyokong kedua-dua pasukan merancang perjalanan mereka ke ibu negara, selain membantu kelancaran urusan jualan tiket yang dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan finalis.
Dalam pada itu, MFL turut memaklumkan bahawa kesemua tiket fizikal dan e-tiket yang telah atau akan dijual dengan tarikh asal perlawanan pada 12 April 2025 masih sah digunakan bagi aksi final pada 26 April 2025.
“Dengan perubahan ini, MFL juga akan melakukan pindaan jadual baki perlawanan Liga Super musim ini dan akan memaklumkan perkembangan lanjut dalam masa terdekat,” menurut kenyataan rasmi badan pengelola liga itu.
Pertembungan final antara JDT dan Sri Pahang FC dijangka sengit, dengan kedua-dua pasukan bersedia memberikan persembahan terbaik bagi merebut trofi berprestij bola sepak negara.-UTUSAN