Faisal miliki semangat juang tinggi

Faisal miliki semangat juang tinggi

Faisal (kanan) diasak pemain Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada perlawanan Liga Super, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee mengakui tidak terkejut apabila Faisal Halim kembali menyarung jersi skuad kebangsaan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027.

Kim Swee kini jurulatih kelab Liga Indonesia, Persis Solo berkata, Faisal memiliki semangat juang yang tinggi malah sentiasa komited setiap kali beraksi di atas padang walaupun memiliki saiz tubuh yang kecil.

“Kena faham, dia hadir daripada latar belakang keluarga yang susah dan pastinya bola sepak adalah mata pencarian utamanya dan sejak di peringkat remaja lagi dia sudah buktikan dia ada nilai tambah kepada pasukan walaupun saiz badannya yang kecil.

“Saya tak terperanjat apabila mengetahui dia sudah kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan dan pastinya panggilan tersebut memberi keyakinan semula kepadanya.

“Namun, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi bahawa dia dapat bermain bersama Harimau Malaya sama seperti sebelum ini. Pasukan ada tenaga pakar daripada barisan kejurulatihan seperti doktor dan fisioterapi untuk membantu Faisal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Untuk rekod, Kim Swee pernah bekerjasama dengan pemain sayap Selangor FC itu sewaktu beliau memimpin skuad Bawah 23 (B-23) negara mengharungi kempen Sukan Asia Jakarta-Palembang pada 2018 serta beberapa lagi kejohanan.

Faisal menjadi tumpuan selepas hampir setahun tidak menyertai skuad kebangsaan sejak menjadi mangsa simbahan asid pada Mei tahun lalu apabila namanya kembali disenaraikan oleh jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski.

Kem latihan pusat pertama di bawah Cklamovski akan bermula Isnin ini bagi menghadapi perlawanan pertama Kumpulan F kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya