PETALING JAYA: Taring Harimau Malaya ‘wajib’ diasah menjelang aksi menentang Nepal pada 25 Mac ini dalam aksi kelayakan Piala Asiaa 2027 di Stadium Sultan Ibrahim di Johor.
Aksi persahabatan sememangnya menjadi kebiasaan untuk skuad negara sebelum berdepan mana-mana perlawanan penting, namun kali ini, ia agak lambat diumumkan.
Revolusi Harimau Malaya yang menyaksikan perubahan besar dalam struktur kejurulatihan menuntut aksi persahabatan bagi menguji pasukan yang bakal menggunakan strategi baharu.
Pemain juga memerlukan keserasian kerana dijangka bakal berlaku perubahan dalam muka-muka yang bakal di panggil oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski dan pembantunya.
Jika ada pemain warisan dan naturalisasi baharu dalam skuad kebangsaan, mereka ini juga memerlukan masa untuk mencipta keserasian bersama pemain-pemain tempatan.
Untuk rekod, Nepal sudah melakukan perancangan rapi sebelum berdepan Harimau Malaya dengan mereka bakal berdepan Singapura dalam aksi persahabatan pada 21 Mac.
Menurut legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani, perlawanan persahabatan penting bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan taktikal Cklamovski.-UTUSAN