PETALING JAYA: Kejohanan Perodua National Amateur Golf Series (PNAGS) 2025 membuka tirainya dengan penuh debaran apabila pemain berbakat, Zakaria Mohammad, berjaya mengungguli kategori Medal A dalam pusingan pembukaan yang berlangsung di Kota Permai Golf & Country Club.
Zakaria, yang beraksi dengan handicap 3, mencatatkan 73 nett OCB untuk mengatasi pencabarnya, Muhamad Eddy, yang turut mencatatkan skor yang sama.
Kemenangan itu sekaligus melayakkan beliau ke PNAGS 2025 National Final yang dijadual berlangsung di Saujana Golf & Country Club pada September nanti.
Menurut Zakaria, kejayaan tersebut amat bermakna memandangkan ia merupakan penyertaan pertamanya dalam kejohanan berprestij itu.
“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini. Saingan amat sengit, tetapi saya berjaya mengekalkan fokus sepanjang permainan. Terima kasih kepada penganjur dan semua pihak yang memberikan sokongan,” katanya yang juga juara kelab terkini Kota Permai Golf & Country Club.
Dalam pusingan tersebut, Zakaria mempamerkan permainan konsisten dengan mencatatkan tiga birdie, 10 par, tiga bogey, dan dua double bogey.
Turut mencuri tumpuan ialah Mohd Fauzi Md Piah, yang muncul juara Medal B dengan catatan 68 nett, manakala Hasnata Hassan menampilkan aksi cemerlang dengan 66 nett untuk mendominasi Medal C.-UTUSAN