PETALING JAYA:Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad menjelaskan tentang status individu yang dihubunginya ketika aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sabtu lalu.
Gambar yang menunjukkan Fandi memegang telefon bimbit dan sedang membuat panggilan kepada seseorang sewaktu meraikan jaringan pasukannya dalam perlawanan itu tular di media sosial.
Gambar kurang jelas itu mencetuskan pelbagai tanggapan daripada peminat dengan ramai antara mereka meninggalkan komen gurauan.
Pengendali dari Singapura itu bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau membuat panggilan telefon kepada juru analisis Sri Pahang sebelum jaringan itu dihasilkan.
“Cakap terus terang, saya tak peduli itu semua. Kita ada juru analisis dekat atas. Saya cuba hubungi dia sebab ada satu informasi kita perlu, sebelum kita cetak gol. Tiada CIA, tiada FBI, itu bola sahaja,” katanya sambil berseloroh.
Fandi berkata demikian ketika ditanya media selepas aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam yang menyaksikan Sri Pahang tewas 0-2.
Mengulas mengenai persembahan pasukannya dalam perlawanan itu, Fandi menyifatkan ketumpulan jentera serangan dan tidak bernasib baik menjadi antara faktor pasukannya terpaksa akur tewas kepada Selangor.
Jelasnya, pengharapan terlalu tinggi kepada Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo dalam mencari gol buat skuad Tok Gajah antara sebab utama sukar mendapatkan jaringan.
“Kita pun kurang bernasib baik juga kerana saya rasa dua atau tiga kali terkena palang gol. Saya pun tak tahu kenapa, permainan ada, semua bekerja keras, tapi mungkin kurang bernasib baik. Kita banyak sangat seri (sebelum ini), orang label kita pakar seri.
“Kita tiada pemain yang boleh menyudahkan jaringan yang dihidangkan, setakat ini hanya Kpah yang banyak menjaringkan gol. Jadi pemain lain harus kerja keras lagi untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama,” jelas jurulatih berusia 62 tahun itu.
Kekalahan tersebut menyaksikan Sri Pahang kekal di kedudukan ke-11 dengan hanya mengumpul 16 mata selepas mengharungi 17 perlawanan.-UTUSAN