PETALING JAYA: Pasukan Hoki Terengganu (THT) berada di landasan terbaik bagi memburu kejuaraan treble musim ini selepas cemerlang meraih Piala Sumbangsih dan menjuarai Liga Hoki Malaysia (LHM).
Anak buah Mohd. Harfizi Baharom akan melengkapkan kejuaraan treble musim ini seandainya mereka berjaya menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam final Piala TNB di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Biarpun turun selaku pasukan pilihan, Mohd. Harfizi anak-anak buahnya tidak akan tertekan malah, situasi itu sebaliknya menjadi motivasi terbaik bagi memburu trofi ketiga dengan bersandarkan pengalaman pemain beraksi di pentas final.
“Kita sedia tahu bahawa TNB bukan calang-calang pasukan. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri, terutamanya daripada serangan mereka yang telah menghasilkan banyak gol masa liga dan aksi kalah mati sebelum ini.
“Kita kena berwaspada dengan ancaman-ancaman mereka bagi meneruskan misi pemburuan kita bagi menjulang Piala TNB. Kita akan menjadikan kemenangan kita pada Piala Sumbangsih dan liga tempoh hari sebagai satu motivasi.
“Kita perlukan pengalaman pemain kita yang pernah bermain dalam beberapa siri perlawanan akhir untuk dijadikan sebagai kekuatan pasukan kita esok (hari ini),” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan akhir Piala TNB di Bukit Jalil, semalam.
Untuk rekod, ini merupakan kali keempat berturut-turut kedua-dua pasukan bertemu di pentas akhir yang menyaksikan THT memenanginya pada 2023 manakala TNB menjuarainya pada 2022 serta 2024.
Dalam pada itu, Mohd. Harfizi mengakui Faizal Saari menjadi ayam tambatan buat THT selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan pada musim ini dan berharap pemain tersebut dalam membantu pasukan menjulang trofi kejohanan.
“Kalau kita ikutkan statistik dia telah berada di dalam musim terbaik sebab setiap perlawanan yang dimainkan oleh pasukan THT, dia yang paling banyak jaringkan gol dan kita harapkan sesuatu juga daripadanya.
“Semestinya kemahiran dia amat ditagih oleh pasukan dalam perlawanan final nanti,” katanya.-UTUSAN