PETALING JAYA: Pemain skuasy wanita No. 1 negara, S. Sivasangari membuktikan dia bukanlah calang-calang pencabar apabila mengejutkan bintang No. 4 dunia, Olivia Weaver pada separuh akhir Piala Cincinnati Gaynor 2025 di Cincinnati, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Anak jati Sungai Petani, Kedah yang menghuni ranking No. 10 dunia itu membenam cabaran pilihan utama kejohanan yang merupakan wakil tuan rumah 11-6, 11-9, 9-11, 11-5 dalam masa 51 minit.
Kemenangan itu merupakan kejayaan sulung dicatat Sivasangari ke atas Weaver yang memegang rekod pertemuan 5-0 dan kini ia dirapatkan kepada 1-5.
Ketika ditemu bual selepas perlawanan, Sivasangari mendedahkan tentang rekod pertemuan 0-5 yang tidak berpihak kepadanya sebelum masuk ke gelanggang.
“Dia pemain handalan, saya tewas lima kali kepada Weaver, tetapi hari ini saya cuba menikmati permainan saya, kutip mata demi mata.
“Walaupun saya mendahului 2-0, saya masih berhati-hati, saya tidak mahu apa yang berlaku pada Kejohanan Dunia berulang kerana saya masih boleh tewas,” katanya.
Sivasangari berkata, dia tahu perlawanan berlangsung sengit dan tewas dalam set ketiga, tetapi, kemenangan akhirnya berpihak kepada dirinya.
Katanya, amat penting untuk terus bersabar, kekalkan konsisten dengan perancangan permainan yang telah diatur dan mujur dia turut bermain rali dengan baik.
Pada final, hari ini, pemain berusia 26 tahun itu bakal berdepan satu lagi cabaran getir menentang pilihan kedua, Amanda Sobhy yang mengetepikan wakil England, Jasmine Hutton 11-9, 8-11, 11-9, 11-4 dalam satu lagi separuh akhir.
Sivasangari berkata, kali terakhir bertemu Sobhy, dia tewas lima set pada Kejohanan Juara-Juara I.P Morgan 2025, bulan lalu dan pencabarnya itu kini berada pada prestasi terbaik selepas pulih daripada kecederaan.
Untuk rekod, pemain AS itu memegang rekod pertemuan 2-1 dan kali terakhir Sivasangari menewaskan Sobhy ialah pada Kejohanan Dunia 2019/20 yang dicatat dalam lima set 9-11, 11-9, 6-11, 12-10, 11-6.-UTUSAN
Ends.
KAPSYEN: Sivasangari meraikan kemenangannya ke atas Olivia Weaver pada separuh akhir Piala Cincinnati Gaynor 2025 di Cincinnati, Amerika Syarikat, semalam. – Ihsan PSA