Sistem 'challenge' sepak takraw perlu diubah

Sistem ‘challenge’ sepak takraw perlu diubah

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggesa agar sistem 'Challenge' sepak takraw diubah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berharap sistem ‘challenge’ dalam sukan itu diubah serta merta bagi memberi keadilan dalam setiap perlawanan.

Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkata, sekiranya perubahan dilakukan, sistem baharu boleh dilaksanakan dalam kejohanan terdekat di Piala Dunia di Bihar, India pada Mac depan.

Katanya, perubahan perlu dilakukan kerana format sedia ada yang membenarkan dua cabaran setiap pasukan jelas tidak adil dan merugikan pasukan yang berjaya dalam cabaran mereka.

Menurut Sumali, pasukan sepatutnya tidak kehilangan cabaran sekiranya menang dalam semakan video, sebaliknya cabaran perlu ditolak jika mereka tewas dalam semakan itu.

“Kita tidak mahu pasukan dibebani keputusan pengadil yang meragukan, jika cabaran menang, ia harus kekal dan tidak dikira sebagai satu kehilangan. Ini perubahan yang kita perjuangkan.

“Kalau cabaran itu kalah, memang wajar ditolak satu, tetapi kalau kita sudah buktikan betul dan menang cabaran, kenapa pula perlu hilang satu peluang? Ini yang tidak masuk akal dan perlu diubah segera,” kata Sumali kepada pemberita pada sidang akhbar, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader turut mengakui cadangan itu wajar dipertimbangkan.

“Saya belum boleh ulas panjang, tetapi saya lihat cadangan ini sangat baik untuk memastikan keadilan dalam pertandingan. Kami akan cuba realisasikan pada Piala Dunia di Bihar nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sumali mengesahkan 15 pasukan akan menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Titiwangsa dari 10 hingga 18 Mei depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya