NILAI: Muhammad Shah Firdaus Sahrom masih mampu menghadiahkan pingat gangsa buat kem negara di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 biarpun masih bergelut dengan kecederaan.
Dalam aksi tersebut,Shah Firdaus menewaskan adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom, dalam penentuan tempat ketiga bagi acara pecut individu lelaki elit.
Dalam aksi separuh akhir, Shah Firdaus terpaksa akur apabila tewas kepada pelumba Jepun, Shinji Nakano, sementara adiknya, Ridwan tewas kepada seorang lagi wakil Jepun, Kaiya Ota.
Ota memenangi emas dalam acara berkenaan, manakala Nakano meraih pingat perak.
Shah berkata, beliau tidak mahu menjadikan kecederaan lutut yang dialaminya sebagai penghalang untuk tidak melakukan yang terbaik.
“Saya harus terima dengan hati yang terbuka dengan keputusan yang saya dapat serta bersyukur dapat berikan yang terbaik buat negara,” kata Shah.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, berjaya mempertahankan pingat gangsa yang dimenanginya tahun lalu selepas berjaya menewaskan pelumba dari China, Bao Shanju dalam acara pecut individu wanita elit.
Meskipun berdepan saingan lebih sengit berbanding edisi lalu, atlet muda negara itu membuktikan keazaman dan ketahanan mental yang tinggi dalam perlumbaan tersebut.
“Saya sangat teruja dengan pencapaian hari ini. Tahun lalu, banyak pasukan menghantar pelumba pelapis, tetapi tahun ini, mereka menampilkan atlet elit, termasuk juara Olimpik Tokyo 2020,” katanya selepas perlumbaan.
Mengakui saingan kali ini jauh lebih mencabar, Nurul Izzah tetap optimis dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan kedudukan terbaik.
“Saya tahu perlumbaan ini lebih sukar, tetapi saya tetap berusaha untuk meraih pingat. Walaupun sedikit melakukan kesilapan pada pusingan pertama final, saya bangkit dengan strategi yang diberikan oleh jurulatih,” ujarnya.-UTUSAN