PETALING JAYA: Berbaki 11 hari sebelum Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, jaguh trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berdepan dilema akibat kecederaan lutut yang dialaminya ketika sesi latihan.
Pelumba berusia 29 tahun itu kini masih mempertimbangkan sama ada mahu bertanding dalam kedua-dua acara, keirin dan pecut atau hanya memberi fokus kepada keirin yang merupakan acara kegemarannya.
Menurut Shah Firdaus, perubahan drastik dalam sesi latihan memberi tekanan kepada ototnya, sekali gus mencetuskan kecederaan yang boleh menjejaskan kayuhan dan prestasinya di Velodrom Nasional, Nilai.
“Saya beri tumpuan kepada meningkatkan kekuatan kedua-dua belah kaki selain menguatkan otot. Ia memberi kesan.
“Lagipun sebelum Sukan Olimpik, saya kerap mengalami kecederaan. Kemudian saya menjalani sesi angkat berat dan akibat keterujaan, saya ditimpa kecederaan lutut,” kata Shah Firdaus.
Berbeza dengan acara pecut yang memerlukan kayuhan dari tahap rendah ke tinggi, Shah Firdaus percaya keirin lebih sesuai kerana ia banyak bergantung kepada taktik dan strategi perlumbaan.
“Acara pecut memerlukan saya melakukan pecutan dari tahap rendah ke tinggi. Ia akan mengganggu kayuhan saya. Keirin pula berbeza sebab kami sudah ada kepantasan jadi kami akan gunakan taktik (untuk memintas),” katanya.
Sebagai pelumba paling senior dalam skuad kebangsaan, Shah Firdaus dijangka menjadi sandaran utama negara untuk memburu pingat dalam ACC 2025 yang bakal membuka tirai pada 21 Februari ini.-UTUSAN