NILAI: Bintang berbasikal trek remaja negara, Sawda Hasbullah terus mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas kedua peribadinya selepas menumpaskan pelumba Korea Selatan, Park Hye Rin, 2-0 dalam perlumbaan akhir acara pecut di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Sawda, 17, bukan sahaja menambah koleksi pingat emasnya, malah mencipta sejarah sebagai pelumba wanita junior pertama negara yang menjuarai acara pecut di pentas ACC.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya dapat menebus kekecewaan selepas gagal dalam acara keirin dan pecut berpasukan. Perlumbaan tadi agak mencabar, tetapi saya tetap yakin dengan kemampuan diri,” katanya.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi status Sawda sebagai antara prospek terbaik negara dalam sukan berbasikal trek selepas sebelum ini turut mencipta rekod Asia dan dunia dalam acara ujian masa 1 kilometer (km) dengan catatan 1 minit 10.818 saat (s).
Dia sebelum ini meraih perak dalam acara pecut berpasukan wanita, sebelum menghadiahkan emas pertama menerusi ujian masa 1km.
“Saya cuba menggunakan strategi berbeza dalam perlumbaan kedua, dan syukur semuanya menjadi. Kemenangan ini amat bermakna buat saya,” katanya yang berasal dari Melaka.
Dengan pencapaian cemerlang di ACC 2025, Sawda kini membuktikan dirinya sebagai antara pelumba harapan negara dalam misi melahirkan jaguh berbasikal bertaraf dunia.-UTUSAN