PETALING JAYA: Jurulatih perseorangan lelaki Malaysia, K. Yogendran mengakui percaturan tidak menjadi dengan harapan pemain yang mempunyai rekod pertemuan lebih baik ke atas Hong Kong gagal menghadiahkan kemenangan kepada negara pada perlawanan pembukaan Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2025 di Qiangdao, China, hari ini.
Malaysia yang diundi di dalam Kumpulan B, tewas 2-3 kepada Hong Kong yang menurunkan barisan terkuat mereka berbanding pasukan kebangsaan yang membawa ‘skuad B’ pada edisi kali ini.
Yogendran berkata, seperti yang diramal, Hong Kong menurunkan skuad utama mereka dan apa yang boleh dilakukan Malaysia ialah memilih pemain terbaik untuk berdepan negara tersebut.
“Memang kita tahu peluang kita 50-50, beregu campuran sebenarnya menjadi penentu, dalam mesyuarat pasukan, kita memilih untuk menurunkan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin bersebab, rekod pertemuan mereka dengan Hong Kong lebih bagus.
“Justin Hoh juga sama rekod dia agak baik jumpa pemain Hong Kong, berbanding Leong Jun Hao, dia tidak pernah menang ke atas Lee Cheuk Yiu dalam dua pertemuan lalu,” katanya dalam satu temu bual selepas perlawanan berakhir, hari ini.
Beliau berkata, pengalaman pemain Hong Kong telah mencipta jurang di antara wakil negara yang menjadi punca kekalahan Malaysia.
“Dalam saingan beregu campuran, Tang Chun Man merupakan pemain yang sangat berpengalaman, dia berjaya bangkit daripada kekalahan set pertama.
“Justin pula apa yang saya boleh cakapkan ialah dia berjumpa pemain lebih berpengalaman dan ranking lawannya juga lebih tinggi.
“Justin bermain baik dalam set pertama, tetapi, permainannya mula merosot pada set kedua,” katanya.
Mengulas pula mengenai perseorangan wanita, Yogendran berkata, K. Letshanaa telah bermain agak bagus, hari ini, dan berjaya menghadiahkan mata buat Malaysia. – UTUSAN