PETALING JAYA: Buat julung kali peminat seni bela diri campuran (MMA) dapat menyaksikan acara berprestij Kejohanan Fire Cage Fighting (Fire Cage FC) yang dijadualkan berlangsung di N9 Arena, Negeri Sembilan pada 22 Februari ini.
Menampilkan jaguan UFC dan RIZIN, pertarungan bersejarah ini menyaskikan perebutan dua gelaran utama yang tersenarai dalam kalender antarabangsa membabitkan penyertaan jaguh daripada enam negara serta wakil Malaysia.
Pertarungan kejuaraan Kelas Dunia menjadi acara tumpuan bagi merebut Kejuaraan Dunia Welterweight, di mana legenda MMA Brazil dan veteran UFC, Gleison Tibau berdepan superstar MMA dari Jepun, Kiichi Kunimoto.
Bagi gelaran Kejuaraan Dunia Lightweight pula menyaksikan pertarungan bekas jaguh UFC dari Brazil, Diego Nunes yang juga veteran Bellator berdepan bintang Filipina iaitu bekas juara Abu Dhabi Warriors dengan pengalaman di UFC, Rolando Dy.
Ketua Pegawai Eksekutif Emnes Events Sdn Bhd, Ahmad Mustaqiim Ahmad Fauzi berkata, kejohanan ini bukan hanya membawakan bintang antarabangsa, tetapi turut memberi peluang kepada jaguh Malaysia berentap dengan petarung terbaik dalam dunia.
“Bukan hanya membawakan bintang antarabangsa, acara ini adalah mengenai memberi peluang kepada jaguh Malaysia untuk bertarung disamping antara yang terbaik dalam dunia.
“Fire Cage FC meletakkan satu penanda aras baharu untuk MMA di Malaysia dan kami sangat berbangga untuk mempersembahkan barisan yang pelbagai ini,” katanya.
Lebih menarik adalah enam pertembungan tempatan yang diaturkan khas di mana petarung Malaysia akan berpeluang berdepan lawan antarabangsa yang pastinya menjanjikan saingan hebat bakat MMA Malaysia di peringkat global.
Peminat aksi pertarungan pasti teruja dengan kehadiran jaguh welterweight Malaysia, Agilan Thani yan dikenali sebagai bekas pencabar Gelaran Dunia ONE Welterweight dan salah seorang atlet MMA yang paling terkenal di negara ini.
Agilan terkenal dengan aksi luar biasa dan kepulangannya di ibu kota bagi mewakili negara pastinya dinantikan peminat tanah air.
Berdepan pencabar hebat Garath Vaughan, seorang pejuang yang hebat dari gym SBG sebuah lokasi terkenal di Ireland yang diketuai oleh John Kavanagh juga merupakan Ketua Jurulatih Legenda UFC, Conor McGregor.-UTUSAN