PDRM hampakan Kedah untuk ke perlawanan akhir Challenge Cup - Utusan Malaysia

PDRM hampakan Kedah untuk ke perlawanan akhir Challenge Cup

PEMAIN pasukan PDRM FC meraikan kemenangan mereka melalui penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir Challenge Cup menentang KDA di Stadium Darul Aman, malam ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kecekapan penjaga gol PDRM FC, Bryan See membawa Sang Saka Biru ke pentas akhir Challenge Cup apabila dia menghalang sepakan terakhir pertahanan KDA FC, Wan Amirul Afiq, sekali gus membawa kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Tuan rumah memiliki peluang seawal minit ke-2 untuk menuai hasil apabila Hasbullah Abu Bakar dijatuhkan pemain lawan di luar kotak penalti. Peluang itu bagaimanapun disia-siakan Ariff Farhan Md. Isa apabila sepakannya tersasar ke kiri gawang.

Pada minit ke-43, KDA FC hampir memecah kebuntuan apabila Hasbullah menerima umpanan cantik Aiman Afif Afizul, rembatan deras dari luar kotak penalti bagaimanapun sedikit tersasar untuk kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, PDRM FC terlebih dulu mendatangkan ancaman apabila pemain import dari Myanmar melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti yang hanya sedikit tersasar dari sasaran pada minit ke-57.

Hanya seminit kemudian, KDA FC berjaya memecah kebuntuan apabila Amirul Hisyam Awang Kechik menghasilkan jaringan. Pemain tengah Sang Kenari itu tidak menunggu lama untuk melakukan percubaan dari jarak dekat, sebaik menerima hantaran ‘ubi’ muda, Danial Tarmizi untuk menewaskan Bryan.  

Tidak berputus asa, PDRM FC kemudiannya sekali lagi tampil dengan percubaan berbahaya pada minit 73. Namun tandukan bekas pemain kebangsaan, Shahrel Fikri sekadar singgah di tiang gol kiri tuan rumah.

Pada minit ke-78, Ifwat Akmal Chek Kassim terus memainkan watak penting untuk mengecewakan penyerang lawan. Bekas penjaga gol kebangsaan itu cemerlang menepis tandukan tonggak tengah PDRM, Fadi Awad untuk menyelamatkan gawangnya.

MILOS Gordic melakukan tandukan ketika bertemu PDRM FC dalam perlawanan separuh akhir Challenge Cup di Stadium Darul Aman, malam ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Ketika lebih 3,000 penyokong setia tuan rumah sudah bersedia untuk meraikan kemenangan, pemain gantian PDRM FC, Shafizi Iqmal Md. Khiruddin meranapkan harapan mereka. Dia melepaskan rembatan kaki kanan dari dalam kotak penalti untuk menewaskan Ifwat, hanya beberapa saat sebelum pengadil menamatkan permainan.

Berlanjutan ke masa tambahan, penyerang pelawat, Ifedayo Olusegun berjaya melepaskan rembatan yang menewaskan Ifwat pada minit 102. Penyerang dari Nigeria itu hampa apabila jaringannya dibatalkan akibat ofsaid.

Kegagalan kedua-dua pasukan menambah jaringan menyebabkan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 4-4.  

Kesemua pemain PDRM terdiri Kyaw Min Oo, Shahrel Fikri, Bruno Suzuki, Shafizi dan Badrul Affendy berjaya menyempurnakan sepakan penalti manakala sepakan terakhir Wan Amirul Afiq buat Sang Kenari berjaya ditangkap kemas Bryan yang merebahkan badan ke kiri gawang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya