SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) mencatat kemenangan, 2-0, ke atas Kedah Darul Aman FC (KDAFC) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam tadi.
Ia adalah kemenangan kedua pasukan itu di laman sendiri dan ketiga daripada 19 perlawanan musim ini.
Kedua-dua pasukan mempamerkan rentak permainan secara berhati-hati pada awal permainan dengan pasukan pelawat menunjukkan keupayaan menyerap serangan dilancarkan NSFC.
Gol NSFC dijaringkan pada minit ke-39 melalui Muhammad Harith Samsuri.
Jaringan itu berpunca daripada sepakan percuma Takumi Sasaki dari jarak 30 meter ke gol KDAFC yang gagal ditangkap dengan kemas oleh penjaga gol, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim. Bola yang terlepas itu dikuis masuk oleh Muhammad Harith.
Memasuki separuh masa kedua, KDAFC menggandakan asakan bagi mencari gol penyamaan.
Penyerang pasukan itu, Milos Gordic mendapat peluang terbaik menjaringkan gol selepas larian di sebelah kanan gol NSFC berjaya melepasi barisan pertahanan tuan rumah.
Namun sepakan pemain import KDAFC ke arah gol berjaya ditampan keluar penjaga gol NSFC, Muhamad Aqil Abdul Razak.
Serangan balas NSFC ke kubu lawan juga hampir menambah gol pada minit ke-80. Namun sepakan deras ketua pasukan, Annas Rahmat terkena palang gol pasukan pelawat.
Ketika perlawanan menuju ke penghujung, NSFC menjaringkan gol kedua pada minit ke-85 selepas emain tengah, A. Selvan menolak masuk hantaran lintang Hein Htet Aung.
NSFC kini mengutip sebanyak 12 mata manakala KDFC memperoleh 20 mata selepas 18 perlawanan.-UTUSAN.